Vaksin, di mana kebijaksanaanya?
MAKALAH ini ditulis dengan beberapa tujuan. Pertama-tamanya mengakuri (bersetuju) bahawa setakat ini semua jenama vaksin yang ada di pasaran mempunyai asas manfaat yang mengatasi kesan negatif.
Oleh itu, keputusan menggunakan mana-mana satu jenama untuk tujuan rawatan adalah munasabah dan dialu-alukan. Pun begitu, makalah ini juga mengakui hakikat setiap jenama vaksin mempunyai kelainannya tersendiri.
Ini termasuk dari cara dan bahan pembuatan ataupun buruk baiknya kesan rawatan dari pelbagai segi perbandingan.
Tidak semuanya serupa dalam segala hal, bergantung kepada penerima vaksin tersebut dan beberapa faktor lain seperti penyimpanan dan sebagainya.
Ini semakin jelas, apabila semakin ramai menggunakan vaksin di seluruh dunia; lebih-lebih lagi apabila jangka masa penggunaannya turut melebar.
Contoh terkini adalah laporan kesan berkaitan pembekuan darah yang berlaku berulang kali ekoran penggunaan sesuatu jenama vaksin berkenaan berbanding dengan jenama-jenama lain, baru-baru ini.
Minggu lalu, hal ini menjadi lebih heboh lagi apabila berlakunya tujuh kematian pesakit di United Kingdom (UK) melibatkan pembekuan di saluran darah otak pesakit.
CVST
Amnya, kes ini dikenali secara ringkas sebagai kes CVST, singkatan Inggeris, cerebral venous sinus thrombosis. Kebetulan semua kematian tersebut diiringi penggunaan jenama vaksin yang sama bagi setiap seorang pesakit. Apatah lagi, kes CVST pernah berlaku sebelum ini bagi vaksin itu.
Anggaran 30 kes telah terkesan selama ini apabila vaksin itu diberikan kepada 18.1 juta penerima mengikut laporan dari UK pada 24 Mac lalu.
Bilangan ini begitu kecil sekali secara berbanding jumlah penggunaan keseluruhannya. Namun reaksi negara-negara terlibat, terutama bagi beberapa negara Eropah tidaklah sedingin yang dijangkakan.
Hampir semua yang terlibat menggantung penggunaan vaksin berkaitan sekurang-kurang buat sementara waktu. Malah ada juga yang menukar sasaran penggunaan vaksin itu dari apa yang disarankan pada awalnya, terutama sekali dari segi lingkungan usia.
Tindakan pantas ini menunjukkan keperihatinan memuncak bertujuan tidak lain tidak untuk menentukan bahawa kesan negatif vaksin itu dibendung secara sedaya mungkin.
Semua ini serba sedikit menggambarkan betapa pihak-pihak berwajib mengambil berat melindungi rakyat mereka dari kes CVST di negara masing-masing walaupun bilangan puluhan kes dalam berjuta penerima vaksin dianggap amat kecil dari kaca mata khalayak umum.
Hakikatnya tidak begitu dari segi pertimbangan kesihatan dan keselamatan. Perlakuan beretika ini amat menyakinkan ramai akan kerelevanan vaksin untuk menyelamatkan nyawa mereka.
ETIKA
Natijahnya, walaupun langkah menyelenggara serta mengurus hal ehwal penggunaan vaksin mungkin berbelit-belit, soal etika dan hak kesihatan rakyat tidak dikompromi sama sekali. Terutamanya kumpulan marhaen yang sering tercicir melibatkan hal-hal berkaitan vaksin semasa.
Malah, banyak lagi yang berlaku di belakang tadbir terselindung dari pengetahuan awam, khusus di negara membangun di mana kefahaman rakyat masih cetek dan sumber maklumat yang boleh diyakini amat terhad.
Misalnya, di Amerika Syarikat (AS) nasib jenama vaksin tersebut masih terumbang-ambing. Lebih malang lagi pembikinannya dihentikan di sebuah perkilangan ekoran berlaku percampuran bahan ubat-ubatan dengan vaksin yang lain pada minggu lalu mengikut beberapa laporan rasmi akhbar utama AS dan UK.
Tambahan pula, vaksin berkenaan dilaporkan belum lagi mendapat pengesahan rasmi oleh pentadbiran AS. Bahkan pembikinan di AS hanyalah untuk kegunaan negara-negara jiran sahaja setakat ini.
Mengapakah vaksin itu seolah-olah di“anak tiri”kan memandangkan AS merupakan negara yang terburuk mengadapi serangan Covid-19, dan amat tergopoh-gapah mencari-cari penyelesaian kemelut pandemik berbanding banyak negara lain di dunia?
Adakah sesuatu yang tidak kena dengan vaksin tersebut? Persoalan seperti ini masih belum terjawab dengan memuaskan walaupun AS agak lebih terbuka dan sedar dalam isu-isu hak kemanusiaan dan kesihatan secara umumnya.
Adakah sesuatu yang Malaysia boleh belajar dari sikap tegas AS sebegitu rupa? Paling tidak pun belajar dari Afrika Selatan umpamanya, yang tidak lama dahulu telah pun menjual semula vaksin berjenama yang sama kepada negara lain.
BAZIR
Ini kerana dikatakan tidak berkesan ke atas virus Covid-19 gubahan yang tersebar meluas di negara tersebut dan terbukti mengancam lebih banyak nyawa, walaupun isu ini tidak ada kena mengena dengan kes CVST yang tersebut di atas.
Pendek kata, masih ada beberapa pilihan dalam penggunaan vaksin berkenaan kepada bakal para penerima mengikut keadaan yang paling baik atau sesuai bagi sesuatu negara itu secara menyeluruh.
Yakni ia tidak perlu akur kepada amalan ikut-ikutan satu-saiz-untuk-semua tanpa mengambil kira kesesuaiannya kepada apa yang berlaku atau yang terkini. Sekali gus dapat mengelakkan kerugian dari pelbagai sudut khususnya kesihatan mahupun sosioekonomi.
Bagi Afrika Selatan umpamanya, ia berupaya membeli vaksin yang lebih berkesan dan bersesuaian selepas menjual semula vaksin yang mengecewakan itu tanpa pembaziran.
Ini jelas merupakan satu lagi langkah bijak yang Malaysia wajar fikirkan dan teladani demi melindungi diri untuk melindungi semua. Ia sekali gus memberi isyarat betapa pihak yang bertanggungjawab meletakkan kepentingan rakyat sebagai sasaran utama.
Rumusannya, kejayaan menyuntik rakyat bukan semata-mata soal teknik dan teknologi sepertimana yang diertikan seluruh dunia kebelakangan ini melalui berbagai kerakusan, ketamakan serta nasionalisme vaksin yang sempit.
Sebaliknya, ia berkait rapat dengan soal nilai yang telus, pemberitahuan serta langkah yang tulus lagi menyakinkan.
Tanpa kesantunan ini jurang curiga-mencurigai akan menjadi penghalang terbesar sepertimana yang dilaporkan di negara-negara lain di mana kes CVST tidak ditangani dengan betul dan peka.
Ramai rakyat yang dipaksa mendapat vaksin tertentu telah mula mengabaikannya akibat kesangsian isu pembekuaan darah yang terus menghantui keadaan.
Dalam hal ini, Malaysia perlu lebih bijaksana dalam mengelakkan kemungkinan ini berlaku dengan meluas.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).