Bau busuk bangkai ikan ganggu penduduk
TELUK INTAN: Penduduk di Kampung Batak Rabit di sini terpaksa menghidu bau bangkai ikan dari sangkar ternakan yang pecah akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian minggu lalu.
Sangkar ikan berkenaan hanyut di Sungai Perak sehingga ke kawasan berdekatan rumah mereka di kampung tersebut yang dihuni kira-kira 50 penduduk.
Selain bangkai ikan, besi dan tong sangkar turut dihanyutkan ke kawasan itu dan masih tersangkut di belakang rumah mereka.
Seorang penduduk, Mohamad Ikmal Hisyam Mohamad Pozali, 25, berkata, sejak minggu lalu, beberapa sangkar hanyut sehingga di bahagian belakang rumah mereka yang terletak di tebing Sungai Perak.
Menurutnya, bangkai ikan berkenaan semakin membusuk sehingga penduduk terpaksa menghidu bau busuk sepanjang hari.
“Kami nak makan pun tak boleh, hilang selera sebab bau bangkai yang kuat sangat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Selain itu, katanya, besi dan tong sangkar yang tersangkut menyebabkan penduduk yang bekerja sebagai nelayan sukar untuk ke sungai memasang belat dan memancing.
Seorang lagi penduduk, Kintan Uda, 80, berkata, penduduk bimbang bangkai ikan yang tidak dibersihkan akan mendatangkan penyakit.
Dalam kejadian minggu lalu, seorang penternak ikan sangkar Heng Zhi Yong mendakwa kerugian hampir RM7 juta selepas 280 sangkar ternakannya pecah dihanyutkan arus deras Sungai Perak.
Zhi Yong berkata, hampir kesemua ternakannya kira-kira 500 tan metrik terlepas ke dalam sungai manakala sebahagian besar daripada 280 buah sangkarnya musnah.
You must be logged in to post a comment.