4 kartel di Malaysia – dari politik hingga tender kerajaan

Sebaran :

 

Kartel dalam bahasa asalnya, Bahasa Inggeris dieja sebagai cartel. Pada hari ini, di negara bernama Malaysia, istilah kartel ini membawa konotasi yang buruk lagi jelik dan jijik.

Menurut Oxford Dictionary Current English, cartel bermakna “Union of manufacturers to control prices etc”. Dalam Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula, cartel diterjemahkan sebagai “persatuan kaum pengusaha, pedagang dll untuk mengawal pengeluaran, pasaran dan harga barang”.

Istilah kartel ini buat pertama kali terkenal pada tahun 1970-an apabila negara-negara pengeluar minyak menubuhkan sebuah organisasi yang dipanggil Organization of Petroleum Exporting Countries, ringkasnya Opec. Opec ini satu pertubuhan yang amat berpengaruh dan kuat pada tahun 1970-an. Ia dianggotai negara-negara pengeluar minyak terbesar di dunia, antara lainnya ialah Arab Saudi, Iraq, Iran, Venezuela dan Indonesia.

Amerika Syarikat dan negara-negara barat di Eropah ternyata kurang senang dengan pengaruh Opec yang menguasai harga minyak dunia. Lalu istilah kartel diperkenalkan oleh dunia barat untuk memburuk-burukkan negara-negara Opec.

Di Malaysia, fenomena kartel ditemui di dalam empat kategori. Kategori pertama ialah politik. Istilah kartel mula dikesan dalam pertandingan sengit pemilihan jawatan timbalan presiden PKR selepas pilihan raya umum ke-14 hinggalah membawa kepada kongres nasional parti tersebut pada bulan Disember 2019 di bandar bersejarah Melaka. Kumpulan atau team yang diketuai Azmin Ali dipanggil kumpulan Kartel, manakala kumpulan lawan yang diketuai Rafizi Ramli dikenali sebagai team Invoke.

Kumpulan Kartel dalam PKR kemudian terlibat dengan Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 sehingga tertumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020 dan tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin pada 1 Mac 2020.

Kategori kedua kartel di Malaysia melibatkan sektor keselamatan dan ketenteraman awam. Sindiket kartel tersebut dapat dikesan oleh Ketua Polis Negara (KPN) Hamid Bador dan didedahkan beliau pada 25 Mac 2021. Pendedahan wujudnya fenomena kartel yang terlibat dengan gejala jenayah dan rasuah dalam PDRM itu amat memeranjatkan masyarakat sehingga terdapat syor supaya kerajaan mewujudkan suruhanjaya siasataan diraja (RCI). Sindiket kartel yang wujud dalam PDRM menjejaskan integriti PDRM.

Malah, sebelum pendedahan wujudnya kartel dalam PDRM, satu jenis kartel lagi dibongkar dan ditelanjangkan. Kartel jenis ketiga ini amat jijk dan memualkan. Kartel ini jenis yang terbilat dengan industri makanan halal. Rupa-rupanya industri mengimport daging beku halal dari luar negara dikuasai oleh sebuah sindiket yang dipanggil kartel. Penyiasatan demi penyiasatan dilakukan dan terbongkar wujudnya pemalsuan sijil halal. Timbul keraguan dan kesangsian di kalangan Umat Islam adakah daging lembu dan kambing yang diimport dari luar negara itu benar-benar halal atau tidak. Malah timbul keraguan adakah daging lembu import yang dibeli itu benar-benar daging lembu ataupun daging kanggaru daripada Australia.

Tender projek kerajaan

Kartel kategori keempat setakat ini ialah kartel yang terlibat dalam sektor tender projek-projek kerajaan Malaysia. Kartel ini didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). Pada malam Ahad lalu, 4 April 2021, SPRM melumpuhkan satu sindiket kartel yang terlibat dalam tender-tender projek kerajaan. Serbuan dibuat dan suspek bergelar “Datuk” yang merupakan ketua kartel ini ditahan. Ketua kartel ini amat kaya dengan memiliki harta benda seperti kapal laut mewah (luxury yacht), helikopter (bukan sebuah tetapi dua buah), kereta-kereta mewah, banglo, rumah kedai dan bangunan pejabat.

Tujuh individu lain termasuk mastermind yang terlibat dengan kartel ini ditahan SPRM dan kini memakai kemeja T oren SPRM. Gejala kartel yang menguasai tender-tender kerajaan bermula sejak tahun 2014 lagi di zaman kerajaan BN, membawa ke zaman kerajaan PH dan diteruskan ke pemerintahan PN.

Modus operandi kartel tersebut ialah dengan menubuhkan sebanyak 150 syarikat yang ia kuasai. Syarikat-syarikat tersebut memasuki permohonan tender. Semua 150 syarikat milik kartel tersebut menggunakan maklumat yang palsu. Maklumat berkenaan kelayakan akademik, sijil profesional dan penyata kewangan syarikat-syarikat milik kartel tersebut semuanya palsu. Mereka berjaya meyakinkan Lembaga Tender Kerajaan. Akibatnya, sebanyak 354 tender kerajaan berjaya dimonopoli oleh kartel tersebut yang melibatkan projek bernilai RM 3.8 bilion.

Dari empat contoh kartel yang dikesan itu, jelaslah bahawa fenomena kartel sedang mengancam Malaysia. Kartel politik membawa gejala buruk dalam politik dengan tindakan melompat-lompat parti dan pengkhianatan. Kartel dalam PDRM mengancam keutuhan institusi PDRM yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Kartel daging beku import menunjukkan betapa rapuhnya kawalan dan pemantauan oleh agensi kerajaan yang berkenaan sehingga untuk mendapatkan makanan yang halal juga berlaku penyelewengan. Pendedahan terbaru wujudnya kartel yang memonopoli tender-tender projek kerajaan melengkapkan satu senario – negara kita Malaysia kini sedang terancam.


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.


Sebaran :

Leave a Reply