RCEP: Negara hilang AS$4.1b setahun?

 

PETALING JAYA: Malaysia berpotensi kehilangan AS$4.1 bi­lion (RM16.93 bilion) setahun dari segi imbangan dagangan apabila menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), menurut simulasi yang dijalankan pegawai kanan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Kehilangan tersebut adalah yang terbesar berbanding negara-negara ASEAN lain dalam RCEP, dengan peratus perubahan imbangan dagangan pada -36.5 peratus selepas menyertai perjanjian itu berbanding -27.7 peratus untuk Myanmar dan -22.5 peratus Thailand.

Negara-negara ASEAN lain turut mencatatkan perubahan imbangan dagangan negatif kecuali Brunei yang menca­tatkan perubahan positif 0.1 peratus.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Kanan UNCTAD, Dr. Rashmi Banga yang menjalankan simulasi tersebut, import Malaysia dijangka meningkat AS$3.8 bilion (RM15.71 bilion) setahun manakala eksport berkurang AS$336 juta (RM1.39 bilion) setahun.

“Import dijangka meningkat AS$1.8 bilion (RM7.44 bilion) dari China dan kira-kira AS$500 juta (RM2.07 bilion) dari Jepun. Import Malaysia sebahagian besarnya datang dari China pasca-RCEP,” katanya menjawab soalan Utusan Malaysia dalam sidang akhbar maya berkenaan impak RCEP terhadap negara-negara ASEAN baru-baru ini.

Menurut beliau, Malaysia juga dijangka kehilangan AS$2.2 bilion (RM9.08 bilion) setahun dari segi hasil tarif selepas meratifikasi RCEP.

Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan ia merangkumi 57.58 peratus daripada keseluruhan kerugian hasil tarif yang dicatatkan semua negara ASEAN.

“Untuk memberikan gambaran jumlah kehilangan hasil tarif ini, kos vaksin untuk keseluruhan populasi Malaysia adalah lebih kecil berbanding kehilangan yang dicatatkan,” katanya.

Pengarah Third World Network, Chee Yoke Ling ketika mengulas dapatan Banga berkata, kehilangan hasil tarif akan memberi kesan yang lebih besar dan berpanjangan kepada negara seperti Malaysia.

“Perlu diberi perhatian, kehilangan hasil tarif disebabkan liberalisasi perdagangan untuk negara membangun adalah kekal, tidak seperti negara maju,” katanya.

Yoke Ling sebelum ini pernah menyuarakan kebimba­ngannya terhadap kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa dari negara-negara RCEP apabila perjanjian itu diratifikasi kelak.

Antara yang dibimbangi adalah wujudnya persaingan yang tidak adil untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan petani selain kesukaran meningkatkan nilai eksport selepas India menarik diri daripada perjanjian itu.

Malaysia bersama 14 negara lain menandatangani RCEP pada penghujung Sidang Kemuncak ASEAN November lalu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bulan lalu berkata, Malaysia akan meningkatkan usaha untuk mempercepat proses ratifikasinya menjelang tahun hadapan.

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker