Replika capal perlu dialihkan ke ruang bersesuaian - Jabatan Mufti Perak — MYKMU.NET

Replika capal perlu dialihkan ke ruang bersesuaian – Jabatan Mufti Perak



Sebaran :

Replika papan kayu berbentuk capal (kasut) yang menghiasi bahagian mihrab di sebuah surau di Perak yang tular di media sosial baru-baru ini, disarankan untuk dialihkan ke suatu ruang yang lebih munasabah dan bersesuaian.

Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNP) dalam satu kenyataan berkata pihak surau atau madrasah berkenaan perlu peka dengan persekitaran semasa dan telahan masyarakat awam dengan menutup pintu-pintu fitnah serta menolak perkara yang boleh membawa kepada unsur pemujaan.

“Ini bersesuaian dengan konsep sad al’zariah dengan maksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan.



“Dalam masa yang sama, netizen dan orang ramai dinasihatkan agar menjauhi perbuatan melabel sesuatu pihak dengan label yang melampau seperti kafir, fasiq dan sebagainya tanpa melakukan proses tabayyun terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati simbol itu diletakkan di bahagian mihrab setahun yang lalu dan perbuatan itu diakui pihak pengurusan madrasah atau surau berkenaan sebagai hanya sekadar untuk hiasan.

“JMNP setelah meneliti dengan penuh hemat dan saksama bahawa hasrat mereka yang terlibat adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Namun, perbuatan ini telah menimbulkan pelbagai andaian sehingga pernyataan yang tidak wajar terhadap urusan agama yang suci ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, isu capal berkenaan mempunyai kaitan dengan tabarruk iaitu mengambil keberkatan terhadap sesuatu yang terkait dengan peninggalan Nabi Muhammad SAW.



“Hukum tabarruk dengan kesan-kesan Nabi memang dibolehkan dalam Islam berdasarkan hadis-hadis yang sahih, tetapi ia adalah kesan langsung dari peninggalan Nabi seperti capal, bekas minuman, rambut Nabi dan sebagainya, adapun replika ia bukan lagi disebut ‘athar al-nabiy’.

“Kecintaan kepada Nabi dan insan yang soleh di sisi Allah boleh dizahirkan dengan pelbagai cara dan pendekatan yang sewajarnya dan hendaklah menjauhi dari membuka ruang kepada perkara yang boleh membawa kepada bid’ah, tahyul, khurafat dan sebagainya yang jauh dari ajaran syarak,” katanya.

Isu simbol capal yang menghiasi bahagian mihrab di sebuah surau dipercayai di sebuah surau madrasah di Lenggong itu tular di media sosial baru-baru ini sehingga mengundang pelbagai spekulasi.



— BERNAMA

Mufti perjelas hukum pakai aksesori, logo serupa capal nabi


Sebaran :


Leave a Reply