Banglo milik ibu Jho Low tidak sepatutnya dalam tuntutan lucut hak – Peguam

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sebuah banglo di Tanjung Bungah, Pulau Pinang milik Puan Sri Goh Gaik Ewe, ibu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, tidak sepatutnya disenaraikan dalam tuntutan saman pelucutan hak yang sedang berlangsung kerana tiada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam M. Puravalen yang mewakili Goh, 69, berhujah bahawa tiada kenyataan dibuat berhubung rumah itu, yang dibina di atas dua bidang tanah yang dibeli oleh Goh pada 1990 dan 1993, berdasarkan perjanjian jual beli yang dikeluarkan di mahkamah hari ini.

“Dokumen hak milik kedua-dua bidang tanah juga dikeluarkan dan jelas menunjukkan bahawa pendaftaran pemindahan disahkan dan berlaku masing-masing pada 11 Julai 1990 dan 4 Ogos 1993.

“Tiada penemuan untuk menjelaskan bagaimana banglo itu berkaitan dengan sebarang hasil haram atau dana yang disalahgunakan. Pihak pendakwaan gagal membuktikan apa-apa fakta yang menjelaskan penglibatan rumah itu dalam kesalahan predikat atau aktiviti yang menyalahi undang-undang,” kata peguam itu semasa berhujah dalam prosiding tuntutan pelucutan hak terhadap Goh dan 17 yang lain.

Puravalen berkata pembelian dan pembinaan banglo itu sebelum wujudnya 1MDB, yang menjadi subjek kesalahan predikat lebih daripada satu dekad dan salinan sijil layak menduduki banglo bertarikh 22 Jun 2000 dikeluarkan oleh majlis tempatan Pulau Pinang juga menjadi bukti sokongan.

“Dokumen itu menunjukkan Goh adalah pemilik berdaftar hingga kini dan tidak ada perubahan dari segi pemilikan tanah tersebut. Oleh itu, saya berhujah bahawa pihak pendakwaan telah gagal dalam melaksanakan beban pembuktian mereka terhadap harta itu,” katanya.

Mengenai simpanan dalam tiga akaun bank milik Goh, Puravalen berkata pendakwaan tidak memberikan bukti dokumen atau bahan sokongan untuk menjelaskan beberapa transaksi deposit di akaun Goh.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak pendakwa tidak mengemukakan bukti bahawa akaun bank milik Goh itu digunakan dalam pelanggaran kesalahan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan skandal dana 1MDB.

Transaksi berkenaan ialah RM328,418.32 yang dideposit pada 13 Okt, 2016; RM340,704.64 yang dideposit pada 11 Nov, 2016 ditanda sebagai “arahan kredit”; RM360,000 (21 Jan, 2017); RM33,649.58 (13 Mac, 2014) serta RM36,631.07 (7 Mei, 2013) yang ditanda sebagai “transaksi persendirian”, semua dalam akaun bank Goh yang dipertikai.

Rayuan SRC: Hakim berpengalaman patut mengendalikan perbicaraan ‘Kes Abad’ ini – Tan Sri Shafee Abdullah

“Afidavit yang disahkan oleh salah seorang pegawai penyiasat 1MDB, ACP R. Rajagopal juga tidak memberikan penjelasan mengenai deposit yang disebutkan mengenai akaun bank yang dimiliki oleh Goh.

“Tidak ada jejak wang atau pergerakan wang yang dijelaskan oleh Rajagopal untuk menyokong pendapatnya bahawa deposit tersebut merupakan hasil aktiviti haram atau jenayah. Oleh itu, kami meminta saman ini ditolak,” katanya.

Pada 8 Mei, 2019, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama dan 27 buah kenderaan yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka serta 13 individu dan syarikat yang dikatakan berkaitan 1MDB.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank di Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd dibeku antara 16 Ogos, 2018, dan 11 Mac, 2019.

Dalam notis usul lucut hak itu, Pendakwa Raya menamakan Najib, Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Prosiding dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 23 April.
— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker