PKR tuntut RM10 juta daripada Xavier


Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengemukakan surat tuntutan bagi menuntut Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar membayar RM10 juta setelah bertindak keluar daripada parti itu bulan lepas.

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata surat berkenaan akan diserahkan oleh peguam parti itu kepada Dr Xavier esok dan bekas Naib Presiden PKR tersebut diberi masa sehingga tujuh hari untuk menyelesaikannya.

“Sesiapa yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti mereka perlu menerima akibat, mereka seharusnya membayar RM10 juta seperti dipersetujui,” katanya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Indera Mahkota 2020 di sini hari ini.

Pada 13 Mac lepas, Dr Xavier mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai Naib Presiden dan ahli PKR selain menyokong blok kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Lee yang juga Ketua Cabang Indera Mahkota berkata mesyuarat hari ini akan mengemukakan dua usul iaitu menolak sebarang kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selain calon Pilihan Raya Umum ke-15 cabang itu harus terdiri daripada penduduk tempatan. BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker