Gelaran ‘abang besar’ Hishammuddin langgar amalan diplomatik – Anifah


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein didakwa melakukan kesalahan amalan diplomatik apabila menggunakan gelaran ‘abang besar’ terhadap Wang Yi.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, ungkapan itu bukan sahaja tidak sesuai tetapi dengan jelas meletakkan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Menteri Luar Negeri Wang Yi dalam kedudukan yang sukar dan memalukan.

Buktinya, bahasa tubuh Wang Yi menyatakannya, lantaran itu beliau dengan cepat mengucapkan ungkapan “kita bersaudara”.

”Sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein harus lebih berhati-hati dan bijaksana dalam memilih kata atau ungkapannya.

“Ia seperti konsep bahawa diplomasi adalah barisan pertahanan pertama,” katanya dalam kenyataan di sini.

Anifah berkata, daripada berdebat dan berusaha untuk mempertahankan ungkapan yang salah, Hishammuddin sewajarnya mengakui telah melakukan kesalahan diplomatik.

“Ia adalah satu kesalahan apabila melakukan kesilapan diplomatik tetapi untuk berdebat dan cuba mempertahankannya adalah jelas menunjukkan watak sebenar individu tersebut,” ujar beliau yang memaklumkan dihubungi banyak pihak susulan kenyataan Hishammuddin itu.

Isu ini timbul apabila Hishammuddin dalam satu sidang media bersama sempena lawatan dua hari ke China baru-baru ini, dilaporkan memberitahu Wang Yi akan sentiasa menjadi “abang besar” kepadanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Hishammuddin tidak sepatutnya menganggap China sebagai ‘big brother’ atau ‘abang besar’.

Ketua Pembangkang itu menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap Malaysia dan dalam masa sama kenyataan Hishamuddin menggambarkan Malaysia memihak kepada kuasa besar dunia tersebut.

“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing.

“Sebagai negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, kenyataan beliau itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara kita sendiri,” katanya yang juga Presiden PKR menerusi kenyataan semalam. MG

Hisham: Ungkapan ‘abang’ untuk menteri luar China, tak rujuk hubungan dua hala

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker