Benarkah ada orang yang tahu bila mereka AKAN MATI? Kisah aneh, sedih lelaki ini akan membuatkan anda terfikir, bagaimana…


“AYAH nak balik sekarang. Ayah nak mati kat rumah,” ucap ayah tiba-tiba suatu petang ketika saya sedang sibuk menyiapkan makanan di dapur.

Mendengar kata-kata ayah itu, saya sedikit pun tidak terkejut. Memang fiil ayah begitu, tidak boleh duduk lama, cepat saja hendak pulang ke rumahnya.

“Ayah duduklah sini dulu, esok Fuzi hantar ayah balik,” saya cuba memujuk. Kalau hendak ikutkan jarak rumah ayah dan rumah saya tidaklah jauh sangat. Ayah di Kuala Kangsar, sementara saya pula menetap di Ipoh, Perak.

Saya pandang ayah, beberapa kali ayah pejamkan matanya. Dari raut wajah ayah dapat saya baca ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya.

“Tak boleh, ayah kena balik sekarang juga. Ayah nak mati ni,” kata ayah sambil berdiri. Suaranya lemah. Waktu itu saya lihat tubuh ayah seperti terhuyung-hayang ke kiri dan kanan.

Saya tersentak lihat ayah begitu. Kalau tadi kata-katanya saya anggap gurauan, kini tidak lagi. Pantas saya terpa tubuhnya dan tanya ayah kenapa?

Tanpa banyak bicara saya pimpin lengan ayah dan bersetuju untuk menghantarnya pulang. Selepas bersiap-siap, saya ajak ayah masuk ke kereta. Memang begitu sikap ayah, kalau hendak pulang tiada siapa boleh menghalang termasuklah saya, anak sulungnya daripada empat beradik.

“Mana cermin mata ayah?” tanya saya sebaik menyedari ayah tidak memakai cermin matanya.

Jawapan yang ayah berikan cukup membuat hati saya meruntun. Kata ayah; “Tak guna pakai cermin mata, Allah dah ambil penglihatan. Telinga ayah pun dah kurang pendengaran. Banyak yang Allah pinjamkan sudah diambil balik.

“Fuzi jangan sedih, ya… ayah dah nak mati ni,” ucap ayah perlahan.

Berderau darah saya mendengarnya, jari-jemari terasa kejang. Stereng kereta bagaikan terlepas daripada genggaman. Kata-kata ayah itu membuatkan saya tidak mampu mengawal perasaan dan tanpa saya sedari air mata mengalir.

Kenapa terlalu kerap ayah menyebut perkataan mati? Hati saya berperang sendirian. Saya biarkan ayah duduk di sisi sambil fikiran terus melayang memikirkan tingkah laku ayah itu.

Satu jam perjalanan, kami akhirnya sampai di Kuala Kangsar, tubuh ayah saya lihat semakin lemah. Saya papah ayah masuk ke dalam rumah. Suasana bertukar riuh-rendah bila adik-beradik yang lain terkejut melihat keadaan ayah.

Emak, Yanha Abdullah, tidak putus-putus bertanya apa puncanya? Saya ceritakan pada semua apa yang telah berlaku. Semua terlopong sebab, memang semua tahu ayah tidak menghidap sebarang jenis penyakit.

Bimbang dengan keadaan ayah, saya ambil keputusan untuk menjaganya. Malam itu saya tidur di sisi ayah. Dengan jelas dapat saya dengar hembusan nafas ayah sekali gus memberikan semangat untuk saya terus berada di sisinya.

Keesokannya saya pujuk ayah untuk ke hospital. Seperti yang saya duga, ayah menolaknya. Tanpa putus asa saya pujuk pula ayah ke klinik, pun ayah masih berkeras tidak setuju. Ayah kata, dia tidak sakit sebab itu dia enggan jumpa doktor

“Kan ayah dah cakap, ayah nak mati… kenapa nak jumpa doktor? Bukan doktor boleh ubat,” kata ayah membuatkan saya dan emak yang mendengarnya jadi kelu. Kami berpandangan sesama sendiri.

Sekali lagi timbul rasa hairan, sudah beberapa kali perkataan mati ayah luahkan.

“Jangan cakap macam tu, yah,” bisik saya sambil memicit lengannya.

Saya duduk di sisi ayah sambil menyuapkan makan malam untuknya. Terlalu perit saya lihat ayah mengunyah dan menelan makanan. Beberapa sudu air putih saya suapkan ke mulutnya.

“Cukuplah… ayah dah kenyang,” kata ayah lalu memejamkan mata.

“Fuzi…” panggil ayah terketar-ketar.

“Ya, ayah. Fuzi ada ni,” balas saya sambil memegang jari-jemari ayah.

Saya lihat ayah tersenyum sementara kelopak matanya terus terkatup rapat.

“Tiga haribulan hari apa nak?” ayah bertanya.

Dengan pantas saya menghitung hari. “Jumaat. Mmm… seminggu lagi. Kenapa, yah?” tanya saya kehairanan.

Ayah diam. Dengan payah saya lihat sedikit kelopak matanya terbuka. Bibir ayah tersenyum lalu ayah bisikkan pada saya; “Lamanya lagi…” ucap ayah terketar-ketar.

Langsung tidak saya fahami apa yang ayah katakan. Apa yang ayah nantikan pada tiga haribulan hinggakan bersungguh-sungguh dia mahu menanti tarikh itu.

Mahu saja saya tanyakan pada ayah namun bila lihat ayah pejamkan matanya, saya tangguhkan niat itu. Saya biarkan ayah lena sementara saya masih menemaninya di sisi.

Hari berganti hari, sangkaan saya bahawa ayah akan sembuh meleset apabila keadaan ayah bertambah tenat. Demam ayah berpanjangan.

Tanpa pengetahuan ayah, saya ke Ipoh, Perak cari doktor untuk dibawa ke rumah. Saya mahu ayah cepat sembuh. Saya tidak sanggup lagi melihat ayah terlantar di rumah tanpa mengetahui sebarang sebab dan penyakitnya.

Pagi itu saya ke Ipoh mencari doktor untuk melihat keadaan ayah di rumah. “Encik Ishak normal,” ucap doktor berkenaan selepas memeriksa tubuh dan tekanan darah ayah.

Pelik, kalau ayah normal kenapa keadaan dia jadi begitu? Tubuh ayah lemah, selera makannya juga terbantut malah pendengaran ayah kurang jelas, itu maknanya ayah sakit.

Hendak kata ayah nyanyuk, mustahil. Umur ayah baru cecah 70 tahun. Takkan ayah nyanyuk dalam sekelip mata. Perubahan sikap ayah itu terlalu mendadak.

Malam itu saya tidur di sisi ayah. Dalam pada tidur-tidur ayam itu saya tersentak apabila terdengar suara ayah memanggil.

“Jam pukul berapa?” tanya ayah.

Saya belek jam di lengan. “Pukul 4.00 pagi. Kenapa, yah?” tanya saya perlahan.

Ayah senyap tanpa suara. Tubuh ayah tidak bergerak namun saya lihat dadanya masih berombak.

“Allah… lambatnya. Lambatnya lagi ya Allah…” rintih ayah. Suaranya cukup perlahan, ada keluhan yang ayah lepaskan.

“Apa yang lambat, yah? Dua jam lagi subuhlah,” kata saya kehairanan. Saya tahu ayah tidak suka melambatkan solatnya namun bila memikirkannya semula saya tiba-tiba jadi bingung. Apa sebenarnya yang ayah nantikan?

“Kenapa, yah?” saya pujuk ayah. Air mata saya mula menitis. Tambah terkejut bila saya dapati tilam ayah basah. Ayah terkencing rupanya.

Saya terus menangis, hiba saya tidak dapat dibendung. Segera jari-jemari saya meraba punggungnya. Saya bimbang ayah turut membuang najis. Segera saya bersihkan tubuh ayah. Tinggal beberapa jam lagi ayah perlu menunaikan solat. Saya perlu pastikan ayah bersih daripada najisnya.

“Tiga… ya, tiga haribulan. Kesian Fuzi nak jaga ayah,” luah ayah. Suaranya semakin lemah.

Jari-jemari saya yang sibuk membersihkan ayah terhenti. Mendengar kata-kata ayah, lantas saya rangkul tubuhnya. Beberapa kali saya kucup dahinya. Air mata saya terus membasahi wajah ayah. Mahu rasanya saya meraung namun segera saya pujuk rasa di hati.

“Ayah… jangan cakap macam ni. Fuzi akan jaga sampai bila-bila,” bersama air mata saya bisikkan kata-kata itu ke telinga ayah. Saya lihat ayah tersenyum namun ia gagal menghilangkan resah yang sudah bercambah di jiwa.

Malam itu tidur ayah saya temani dengan air mata. Terlalu takut rasanya kehilangan seorang lelaki yang bernama ayah.

Sejak malam itu juga setiap kata yang lahir dari mulut ayah, tidak saya pandang endah. Namun saya diamkan perkara itu, bimbang mengganggu perasaan adik-beradik yang lain.

Keesokannya saya tersentak bila emak maklumkan keadaan ayah bertambah kritikal. Tanpa persetujuan ayah kami sepakat hantar ayah ke Hospital Ipoh dengan menaiki ambulans.

Doktor sahkan kedua-dua buah pinggang ayah rosak teruk dan ayah terpaksa menjalani rawatan segera. Sepanjang masa ayah berada di hospital, saya setia berada di sisinya.

Saya hitung jari-jemari, hanya tinggal sehari lagi tarikh yang ayah nantikan. Satu demi satu kata-kata ayah bermain di fikiran. Mengingatkan semua itu tubuh saya menggigil, nafas bagaikan tersekat. Air mata saya terus mengalir.

“Esok tiga haribulan…” manik-manik jernih terus mengalir di pipi.

Ketika saya leka dengan memori silam hidup bersama ayah, tanpa saya sedari ayah menggerak-gerakkan tubuhnya.

“Ayah…” saya memanggilnya. Utv

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker