Malaysia perlu polisi pelaburan jangka panjang

PETALING JAYA: Selain ketidakstabilan politik, polisi pelaburan yang sentiasa berubah dan bersifat jangka pendek turut mendorong kepada kesukaran pelabur asing untuk bertapak lebih lama di negara ini.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kerajaan harus menstabilkan keadaan politik serta melakukan polisi dan kerangka pelaburan yang bersifat jangka panjang.

“Dengan tiadanya pengumuman polisi kewangan yang lestari, bagaimana Malaysia akan mendapat sumber untuk perbelanjaan besar seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, iaitu bajet yang terbesar dalam sejarah Malaysia?



“Itu hanya akan dapat diperoleh daripada perbelanjaan stimulasi yang agak besar selain secara rasionalnya adalah dengan memperkenalkan semula cukai baharu atau cukai sedia ada seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, menurutnya, keheningan pihak kerajaan mengenai struktur cukai atau tambahan pinjaman yang akan dilakukan untuk menampung cukai ini agak menggusarkan pelabur luar.

Selain itu, ujarnya, negara juga telah kehilangan kelebihan perbandingan tenaga buruh yang murah kerana pelabur memilih destinasi lain.

“Kerajaan perlu bersedia untuk menawarkan insentif-insentif lain seperti kemudahan infrastruktur yang mesra Revolusi Industri (IR 4.0) kerana negara tidak mampu bersaing menawarkan tenaga buruh yang murah.



“Jika perkara itu berterusan, ia akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada negara kerana kita amat memerlukan suntikan modal daripada pelabur luar, terutamanya ketika kita berada di fasa pemulihan ekonomi negara yang sebelum ini menguncup susulan wabak Covid-19 yang melanda,” katanya.

Walaupun Malaysia masih merupakan lokasi strategik pelaburan asing, namun tarikannya dikatakan tidak setanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam kerana rintangan birokrasi yang terdapat di Malaysia.

Baru-baru ini, Persidangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) melaporkan, Malaysia melihat kejatuhan ketara pengaliran masuk pelaburan asing (FDI) bagi 2020 sebanyak 68 peratus kepada AS$2.5 bilion (RM10.37 bilion) berbanding lima negara Asean yang lain.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker