Rugi bersih AirAsia naik kepada RM5.09 bilion bagi tahun kewangan 2020


KUALA LUMPUR: Kerugian bersih AirAsia Group Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 meningkat kepada RM5.09 bilion daripada RM315.81 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan berkurangan kepada RM3.14 bilion daripada RM11.86 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2020, kerugian bersih kumpulan ini menokok kepada RM2.44 bilion daripada RM384.44 juta, manakala perolehan menyusut 92 peratus kepada RM267.44 juta daripada RM3.23 bilion sebelum ini.

Menurut kumpulan itu, impak pandemik COVID-19 terus memberi kesan buruk kepada operasinya.

“Walaupun sempadan antarabangsa masih ditutup, kumpulan ini akan memberi fokus untuk menyambung semula operasi domestik yang terhad di kawasan kami beroperasi.

“Sekatan perjalanan yang diumumkan di Malaysia bagi Oktober dan November telah menjejaskan lagi jualan kami pada suku keempat,” kata syarikat penerbangan itu.

AirAsia berkata perolehan bagi perniagaan syarikat penerbangan itu bagi suku keempat 2020 adalah RM233.4 juta berikutan kapasiti yang dikurangkan sebanyak 88 peratus berbanding suku keempat 2019.

Keadaan ini terutamanya disebabkan kapasiti lebih rendah di Malaysia, Filipina dan Indonesia memandangkan sempadan antarabangsa masih ditutup, katanya.

Kumpulan itu akan meneruskan langkah pembendungan kos termasuk jumlah tenaga kerja yang sesuai dan pemotongan gaji kepada pengurusan, kakitangan dan pengarah manakala antara usaha untuk mengekalkan tunai ialah rundingan penstrukturan semula pembayaran kepada pemberi pajak, pembekal dan rakan niaga serta perstrukturan semula kedudukan perlindungan nilai bahan api.

Mengenai prospek, kumpulan itu berkata meskipun sempadan masih ditutup, ia bersedia untuk bergantung sepenuhnya kepada operasi domestik pada tahun ini.

“Kami kekal komited untuk memperkukuhkan lagi kedudukan domestik kami pada masa ini berikutan kami menunggu perkembangan mengenai perjalanan udara antarabangsa.

“Pada masa akan datang, kami menjangka kestabilan operasi yang lebih baik susulan vaksinasi yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua pasaran utama.

“Ini disertai dengan kesedaran dan ujian yang lebih baik serta sokongan yang kukuh kepada gelembung perjalanan percutian dalam kalangan negeri dan kawasan berisiko rendah dan dorongan kepada pasport kesihatan digital global,” katanya.

Selain itu, AirAsia berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi usaha sama dan kerjasama yang mungkin menghasilkan pelaburan tambahan pihak ketiga dalam segmen tertentu perniagaan kumpulan itu.

“Melalui pelbagai langkah mengumpulkan dana yang sedang dilakukan kumpulan ini, AirAsia menjangka ia akan mempunyai mudah tunai yang mencukupi untuk mengekalkan operasi perniagaan,” katanya. BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker