Daftar segera untuk divaksinasi
VAKSIN adalah satu bentuk ikhtiar yang dibuktikan melalui sains perubatan untuk mencegah sesuatu penyakit. Melalui vaksinasi, seseorang individu itu mendapat perlindungan daripada dijangkiti oleh Covid-19.
Bila seseorang divaksin, mereka bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi mereka juga menghentikan transmisi penyakit itu kepada orang lain kerana orang yang sudah diimunisasi tidak boleh memberi jangkitan kepada orang lain.
Hanya apabila bilangan ahli komuniti yang telah divaksin mencukupi, peluang pandemik ini untuk tersebar menjadi rendah.
Diakui vaksin Covid-19 tidak menghapuskan sepenuhnya virus tersebut, namun ia berupaya menghentikan pandemik dan menurunkan kadar jangkitan selain memberi ruang untuk rakyat Malaysia kembali menjalani kehidupan normal.
Malaysia telah pun menerima dua jenis vaksin Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech dan terbaru, Sinovac. Umumnya, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak sabar untuk divaksin, walaupun ada juga sebilangan yang masih ragu-ragu.
Malaysia hingga kini sudah membelanjakan sejumlah lebih RM2 bilion daripada RM3 bilion yang diperuntukkan untuk membeli 30 peratus vaksin untuk rakyat negara ini.
Tetapi, kerajaan tidak berpuas hati berikutan hanya 19 peratus sahaja rakyat yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Setakat 24 Mac, jumlah pendaftaran hanya seramai 6,529,706 orang sedangkan kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk perlu divaksinasi bagi membentuk komuniti yang memiliki imuniti melawan pandemik berkenaan.
Apakah yang masih membelenggu pemikiran rakyat untuk menerima vaksin?
Terlalu banyak mitos diperkatakan berkaitan vaksin Covid-19. Mitos seperti ini terus berlegar dalam segelintir masyarakat.
Antaranya dakwaan vaksin tersebut mengganggu sistem semula jadi tubuh, memberi kesan negatif tertentu selain isu halal haramnya.
Natijahnya, matlamat vaksin Covid-19 adalah untuk mengekang virus berkaitan. Malah, teknologi mRNA iaitu teknologi baharu dalam penghasilan vaksin Covid-19 untuk menghasilkan protein dan akhirnya membentuk sel pertahanan badan telah dibuktikan selamat melalui pelbagai kajian yang dilakukan.
Vaksin ini juga tidak mengganggu DNA badan atau mengubah keturunan dan juga tingkah laku penerima.
Walaupun vaksin ini mempunyai kesan sampingan, namun kajian klinikal mendapati kesan sampingan tersebut adalah minimum. Selain itu, salah satu hujah yang paling popular adalah kandungan vaksin ini mengandungi DNA khinzir.
Tuntasnya, rakyat tidak perlu bimbang dengan keselamatan vaksin Covid-19 kerana ia telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Yang dibimbangi adalah kewujudan golongan antivaksin kerana walaupun mereka tidak ramai iaitu sekitar lima peratus sahaja, tetapi ‘suara’ mereka sangat lantang dan berpotensi menukar pandangan individu atas pagar dan yang masih ragu-ragu untuk menolak vaksinasi.
Kajian Prof Nicholas G Davies dari London School Hygiene and Tropical Medicine menunjukkan varian baru seperti B.1.1.7 bukan sahaja lebih mudah menjangkiti, malah menyebabkan gejala yang lebih teruk dan lebih banyak kematian.
Daftar segera Justeru jangan berlengah, daftarlah segera. Janganlah mudah terpengaruh dengan segelintir pihak yang cuba menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan tanpa bukti munasabah.
Bagi meningkatkan pendaftaran vaksinasi, rakyat perlu diperjelaskan segala aspek berkaitan program imunisasi, termasuk aspek suntikan, kesan sampingan dan segala kemusykilan yang ada.
Maklumat berkaitan perlu diberikan dengan tepat dan lengkap untuk menghilangkan segala keraguan yang terbuku bagi menjamin kejayaan sepenuhnya PICK.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
You must be logged in to post a comment.