Pendakwah bebas lukakan hati Sarah Hildebrand



Sebaran :


Pelakon Sarah Hildebrand melahirkan rasa terkilan dengan seorang pakar motivasi terkenal yang meninggalkan komen berbaur perli dalam satu hantaran Instagramnya kelmarin.

Kekecewaan tersebut dikongsi Sarah atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 31, dalam InstaStorynya.

Malah, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu turut memuat naik beberapa tangkap layar akaun dan komen yang ditulis oleh pendakwah bebas tersebut yang berbunyi; “Sangat sedih.”



Susulan komen berkenaan, isteri kepada Otto Gillen itu meluahkan rasa kecewa dan mempersoalkan bagaimana seorang pakar motivasi boleh menulis perkataan sedemikian.

“Anda tahu apa yang lebih menyedihkan? Apabila anda gelar diri sebagai pakar motivasi tetapi ‘menembak’ emosi orang lain.

“Apa yang saya telah lakukan pada anda? Sebelum ini saya sangat menghormati anda,” ujarnya panjang lebar dalam perkongsian tersebut.



Meskipun dilayan sebegitu, namun Sarah mengakui dia tetap menghormati wanita berkenaan.

“Tanpa sedar, anda telah memperkecilkan dan melukakan hati orang lain dengan sikap sombong. Tolong nilai diri sendiri dahulu sebelum beritahu saya siapa yang menyedihkan.

“Jika anda ingin memberi motivasi kepada orang ramai, meninggalkan komen sebegitu dalam profil individu lain adalah tindakan yang salah. Sangat hipokrit, saya tak tahu bagaimana anda boleh tidur pada waktu malam,” katanya.



Menyedari perkara tersebut, pakar motivasi berkenaan sekali lagi meninggalkan komen terhadap Sarah dengan berkata, pelakon itu hanya salah faham.

“Kepada Sarah, awak telah salah faham maksud saya. Hanya Allah SWT yang tahu,” tulisnya.

Biarpun komen tersebut sudah dipadam, namun peminat Sarah dilihat menyerang Instagram pakar motivasi itu dengan menulis kapsyen sama kepadanya.



Sehingga kini, usaha Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada Sarah tidak berhasil apabila pelakon itu tidak menjawab panggilan dan membalas mesej. K Online


Sebaran :


Leave a Reply