BERJASA mahu peradaban Malaysia berteras akidah Islam sepenuhnya
Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) sebagai parti masa depan negara mahu membawa agenda mengubah peradaban rosak yang berteraskan ateisme pada hari ini, kepada peradaban berteraskan akidah Islam sepenuhnya.
Bersendikan falsafah peradaban ini, kata Presidennya, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, BERJASA akan membangunkan kekuatan sistem yang tersendiri mencakupi semua elemen yang perlu bagi membentuk kekuatan nasional.
“Kami sentiasa percaya, kekuatan dan amanah merupakan tunjang asas kepimpinan seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Qasas, ayat 26.
“Sedar atau tidak, kerosakan dalam sistem politik Malaysia hari ini adalah disebabkan falsafah perjuangan yang terpesong, diwariskan oleh kuasa penjajah serta didominasi oleh golongan elit liberal dan kapitalis ekonomi.
“Lantas, integriti, kompetensi mengurus, kedaulatan negara dan kepentingan rakyat menjadi perkara sampingan bahkan terkadang disorok ke tepi, terbiar ibarat layang-layang yang putus tali,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada Sidang Dewan Kepimpinan Nasional 2021 BERJASA yang diadakan secara maya, hari ini.
Letak jawatan Kabinet perlu keputusan secara kolektif. – Presiden MCA
Mengulas lanjut, Dr Badhrulhisham menegaskan, kepimpinan baharu BERJASA menjanjikan pemerintahan berasaskan hikmah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan demi keamanan, kemakmuran dan kebahagiaan insan melalui dominasi serta hegemoni politik.
“Dalam bidang politik, Malaysia akan teguh berdiri sebagai sebuah negara berdaulat dengan Islam sebagai teras perlembagaan dan Melayu sebagai identiti nasional.
“Ia bukan retorik, sebagaimana yang kita lihat pada hari ini, sebaliknya akan diterjemahkan ke dalam setiap dasar serta polisi negara.
“… disemai elok sebagai DNA yang menunjangi kemajuan bangsa, serta direalisasikan melalui hubungan harmoni dan perpaduan nasional,” katanya.
Di bawah kepimpinan baharu BERJASA, katanya lagi, Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam pasti akan diperkasakan.
Jelasnya, Malaysia di bawah kepimpinan baharu BERJASA kelak juga akan membanteras sepenuhnya budaya ‘warlord’.
Budaya ‘warlord’ yang berorentasikan politik wang, rasuah, salah guna kuasa, pragmatism, kronisme, nepotisme serta ikatan taat setia kepada kuasa luar serta pelbagai anasir yang mengancam kedaulatan negara.
“BERJASA komited untuk menggantikan semua ini dengan sistem pentadbiran yang berintegriti tinggi dan penuh profesional,” katanya.
PAS sudah lama pilih perkukuh MN, pertahan PN – Ketua Penerangan PAS