AS ‘temui’ bukti buruh paksa Top Glove, produk disekat
PETALING JAYA: Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata, ia menemui “bukti kukuh” sesetengah produk Top Glove Corp Bhd dihasilkan menggunakan buruh paksa, banduan atau terikat.
Dalam notis yang dikeluarkan hari ini dalam Daftar Persekutuan AS memaklumkan CBP, dengan kelulusan setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, memutuskan “sarung tangan pakai buang yang dihasilkan atau diperbuat di Malaysia oleh Top Glove Corporation Bhd dengan penggunaan buruh banduan, paksa atau terikat, serta mungkin diimport ke Amerika Syarikat”.
Katanya, ia kini merampas semua sarung tangan yang memasuki AS atau yang mungkin dieksport ke negara itu pada masa depan.
Julai 2020, CBP mengeluarkan perintah sekatan import ke atas dua anak syarikat Top Glove, pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia, selepas menyatakan ia mempunyai maklumat munasabah, tetapi tidak kukuh untuk menunjukkan ia mengeluarkan produk menggunakan buruh paksa.
Di bawah langkah terbaru itu, produk daripada semua anak syarikatnya dilarang dieksport ke AS.
Top Glove mempunyai 60 syarikat dalam kumpulannya dan mengeksport produknya ke lebih 195 negara.
Sebelum ini, pengeluar sarung tangan itu berkata, ia sedang bekerjasama dengan CBP untuk membatalkan perintah sekatan ke atas anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd, susulan dakwaan buruh paksa.
Mengulas pengumuman hari ini, syarikat itu berkata, peguamnya di AS sedang berhubung dengan wakil dari CBP untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubugn perkara berkenaan.
Top Glove dalam kenyataan kepada FMT berkata, Impactt yang merupakan perunding bebas diupahnya untuk memantau pelaksanaan berterusan “pelan tindakan pembetulan” dan langkah pemulihan lain, tidak menemui bukti “buruh paksa sistemik” setakat 20 Jan lalu.
You must be logged in to post a comment.