PAU2020: “You’ll Never Walk Alone!,” Tok Mat Mahu UMNO Jadi Juara Macam Liverpool, Najib Tak Setuju
Ucapan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Pehimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) pagi ini penuh dengan kiasan, amaran, dan ketegasan, terutamanya terhadap pihak yang cuba memecah-belahkan parti itu.
Bagi sesetengah perwakilan, agak mencuit hati apabila dalam ucapan beliau itu diselitkan dengan metafora UMNO harus mempunyai mentaliti juara seperti kelab bola sepak EPL, Liverpool.
Tegasnya lagi, UMNO perlu menjadi dominan, dan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti itu, harus bersedia untuk menerima falsafah, asas perjuangan, serta kemampuannya untuk menjadi pengemudi.
“Kita nak jadi Liverpool yang menguasai Liga Inggeris. You’ll Never Walk Alone!,” katanya sewaktu berucap merasmikan secara serentak Persidangan Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020, yang bermula hari ini.
Namun, bagi bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, ucapan itu seakan-akan lari konteks apabila Mohamad memilih Liverpool sebagai contoh.
“Pada pendapat saya, ucapan Timbalan Presiden UMNO pagi ini adalah padat dan tepat – termasuk bahagian yang dia suruh parti tolak pengkhianat dan musuh dalaman serta pihak-pihak luar tidak perlu ajar UMNO tentang penyatuan ummah.
“Cuma ada sikit bahagian dalam ucapan dia yang saya kurang setuju. Tok Mat boleh pilih kelab lain untuk digunakan sebagai contoh tak?
“Bukan apa. Sebab saya tak sanggup tunggu 30 tahun untuk saksikan UMNO berkuasa semula dan lepas itu berkeliaran di mid-table setahun selepas menang,” seloroh bekas Perdana Menteri itu lagi.
Untuk konteks, ia bukan sesuatu yang rahsia bahawa Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, merupakan salah seorang peminat kepada seteru Liverpool, iaitu Manchester United.
Biarpun UMNO sebahagian daripada pihak yang membentuk Kerajaan PN, Mohamad berkata, peranan UMNO sangat terpencil dan tidak dominan.
“Kita lebih duduk tunduk dari bangun menjadi induk. Ditambah pula dengan pendirian jelas, UMNO untuk tidak menyertai PN sejak awal dahulu.
“Sedar atau tidak, senario-senario ini sebenarnya memberikan UMNO kesempatan unik untuk mengetengahkan semula BN sebagai kerajaan pilihan rakyat. Sama ada dalam kalangan Melayu mahupun bukan Melayu,” katanya.
Malah, jelas Mohamad, prestasi BN sebagai kerajaan selama lebih 60 tahun adalah jauh lebih baik dan berjaya, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
Media sosial peminat berlatar merah rai kemenangan Liverpool
You must be logged in to post a comment.