Tarikh akhir pendaftaran vaksin pada Jun tak realistik
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran, berkata kurangnya akses internet di kawasan tertentu dan kebimbangan mengenai kesan sampingan vaksin Covid-19 akan menjejaskan sebarang rancangan untuk menetapkan Jun sebagai tarikh akhir pendaftaran vaksin.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan tarikh akhir pendaftaran ditetapkan pada Jun susulan kadar pendaftaran bagi program imunisasi kebangsaan yang secara relatifnya rendah.
Kula bagaimanapun berkata cadangan itu tidak mempertimbangkan kekurangan maklumat mengenai proses vaksinasi, terutama bagi mereka di kawasan luar bandar, masyarakat terpinggir, serta B40.
“Walaupun saya bersetuju proses vaksinasi tidak boleh berlanjutan selama-lamanya, bulan Jun adalah tarikh akhir yang tidak realistik,” katanya.
Bagi Kula, menetapkan tarikh akhir yang hanya tinggal lagi tiga bulan mungkin patut bagi penduduk di bandar tetapi “sama sekali tidak adil bagi mereka di luar bandar.”
Jadikan belanjawan lebih realistik, kami akan sokong, kata Mahathir
“Sesetengah orang di bandar masih belum yakin sama ada mereka perlu ambil vaksin kerana penyebaran maklumat palsu. Ini menunjukkan kerajaan harus melipat gandakan usaha meyakinkan mereka.”
Ketika melancarkan kempen pendaftaran vaksinasi di Ipoh hari ini, Kula mendapati banyak orang tidak mendaftar kerana tidak tahu bagaimana caranya.
Ada juga yang bimbang akan kesan sampingan vaksin itu, katanya.
Ketika sesi Balai Rakyat Makmur Bersama di Sabah semalam, Muhyiddin berkata hanya sekitar enam juta orang mendaftar untuk vaksin melalui aplikasi MySejahtera setakat ini, sambil menambah menetapkan tarikh akhir hingga akhir Jun akan membantu memastikan program imunisasi itu berjalan dengan lancar.
Tambah beliau, lebih 400,000 petugas barisan depan sudah menerima vaksin setakat ini, dengan kerajaan mensasarkan 80% penduduk akan diberi vaksin pada Februari depan untuk mencapai imuniti kelompok.