Surat terbuka buat menteri agama


Yang Berhormat Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh

Yang saya hormati Datuk Zulkifli,

Terlebih dahulu saya memohon maaf jika surat ini mengganggu dan menyinggung perasaan Datuk. Saya sedar jadual harian Datuk amat ketat dan Datuk mempunyai 1,001 perkara yang perlu diberi perhatian.



Jujur saya katakan sudah lama saya bercadang menulis surat ini tetapi menagguhkannya kerana sedar saya tidak layak bercakap mengenai agama terutama dengan Datuk yang berilmu keagamaan hebat dan dikagumi.

Bagaimanapun kali ini saya memberanikan diri. Surat ini saya utus kerana ingin menarik perhatian Datuk terhadap masalah yang dihadapi saudara Islam kita – sekaligus menaruh harapan budi bicara dan budi baik Datuk dapat mengatasinya.

Yang Berhormat Datuk,

Masalah yang saya maksudkan membabitkan warga asing di Malaysia yang beragama Islam. Sehingga kini mereka tidak dibenarkan solat berjemaah di masjid dan surau. Peraturan masjid dan surau tidak menjalankan solat berjemaah seperti kita maklum dikuatkuasakan Mac tahun lalu.



Namun sekarang sudah ada kelonggaran berikutan kurangnya kes Covid-19 dan dengan itu kita umat Islam warga negara boleh mendirikan solat jemaah di masjid dan surau dengan mematuhi langkah tertentu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Namun, bagi warga asing beragama Islam mereka masih dilarang ke masjid dan surau untuk bersama kita mendirikan solat jemaah khususnya solat Jumaat. Larangan juga untuk solat waktu walaupun ketika itu ruang solat kosong. Saya difahamkan di sesetengah kawasan menghampiri “gate” masjid dan surau pun warga asing tidak dibenarkan. Waullahualam.

Yang Berhormat Datuk,

Apa yang saya huraikan ini sedang berlaku. Amat menyedihkan Datuk. Ramai di antara mereka yang benar-benar mahu mendirikan solat secara berjemaah di masjid dan surau seperti dahulu. Maaf Datuk saya tidak faham mengapa mereka terus dilarang.



Jika diandaikan warga asing membawa virus, Covid-19 tidak memilih bangsa dan agama seseorang untuk dijadikan pembawanya. Dilaporkan warga asing yang bekerja di sektor tertentu didapati dijangkiti Covid-19. Tetapi bukankah mereka sudah dikuarantin?

Perlu diingat juga warga asing secara kesuluruhannya bukan sahaja tenaga buruh tetapi termasuk golongan profesional, pelajar, dan sebagainya.

Ramai warga asing (yang beragama Islam dan bukan Islam) dibenar menjalankan aktiviti harian dan bergaul bebas dengan warga Malaysia. Malah, sebagai contoh, apabila kita membeli belah di pasaraya, pekerja asing di situ membantu membawa barangan yang dibeli ke kenderaan.

Jika mereka dibolehkan membantu kita di pasaraya, mengapa tidak dibolehkan mereka solat di masjid?



Yang Berhormat Datuk,

Saya perlu menegaskan bukan tujuan saya mahu tunjuk baik dan berlagak alim. Cuma merasa sedih kerana satu tahun sudah berlalu mereka masih tidak diizin solat berjemaah di masjid dan surau.

Oleh itu Datuk saya dengan rendah diri memohon pertolongan Datuk agar masalah ini dapat diatasi.

Bukan niat tunjuk pandai. Sekadar mencadangkan mungkin Datuk mahu mengadakan perbincangan dengan menteri kesihatan dan ketua pengarah kesihatan untuk mendapatkan maklum balas mereka sebelum Datuk membawa perkara ini ke Jemaah Menteri dan khususnya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.



Alangkah bagusnya jika warga asing dibenar bersama-sama kita – saudara Islam mereka – mendirikan solat secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara tercinta ini Datuk. Jika Jumaat ini agak kesuntukan masa, mungkin Jumaat depan.

Paling utama Ramadan ini agar mereka juga dapat mendirikan solat tarawih dan mengimarahkan masjid bersama kita di bulan yang penuh barakah itu.

Ini bagi mereka yang mahu beribadah tentunya. Yang tidak mahu biarlah mereka tanggung sendiri. Namun kita sekurang-kurangnya sudah melakukan sesuatu untuk membuka ruang beribadah.

Tentu SOP mesti dipatuhi. Kita tahu masjid dan surau diwajibkan menghadkan bilangan jemaah. Saya akui dengan kehadiran warga asing kelak tentunya ada warga kita yang tidak dapat dibenar masuk ke dewan solat kerana bilangan jemaah sudah mencatat jumlah yang ditetapkan pihak berkuasa.



Kemungkinan ini menimbul rasa tidak puas hati dalam kalangan warga kita. Mungkin ada yang ibarat ini bagai menyusukan kera di hutan anak di rumah dibiar kelaparan.

Pun begitu, teringat sesuatu yang diajar kepada saya dan kawan-kawan semasa kami budak budak dulu sekitar awal tahun 60-an. Yang mengajar kami ialah Allahyarham Tuan Haji Mohd Tahir bin Haji Jaafar, Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kami memanggil Allahyarham Pak Tuan.

Allahyarham mengingatkan kami jangan pinggirkan konsep berjiran. Saling membantu bertanya khabar dan sebagainya.

Pak Tuan beritahu kami sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang semalaman sedangkan tetangganya kelaparan disampingnya pada hal ia mengetahuinya.”

Berdasarkan itu, bolehkah saya yang kerdil dan tidak pandai dalam soal agama mengeluarkan pendapat: Jika kita dikurnia nikmat mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau manakala saudara seagama dengan kita dilarang berbuat, demikian tidakkah kita rasa bersalah?

Maksud saya, “guilty conscience” bukan membawa erti tidak beriman kepada Nabi.

Sebelum saya mengundurkan diri sekali lagi maaf dipinta jika ada terkasar bahasa dan memohon perhatian Datuk ke atas yang diutarakan dalam surat ini. Semoga usaha Datuk diberkati Allah.

Ribuan terima kasih Datuk dan diucapkan selamat menyambut Ramadan Al Mubarak.

Wabillah hitawfiq wal hidayah assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Yang Benar,
Muhamad Mohsin Abdullah.
FMT

PENANGGUHAN SEMUA AKTIVITI KEAGAMAAN DI MASJID DAN SURAU SERTA PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH MANGSA COVID-19

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker