Memahami undang-undang sekatan pengembangan agama bukan Islam
Cadangan penggubalan undang-undang oleh kerajaan pusat bagi mengekang pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan Muslim kembali mengundang perbahasan awam.
Perkara ini dihangatkan lagi dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac yang memutuskan kerajaan silap ketika mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.
Bagaimanapun, ramai belum sedar bahawa kebanyakan negeri sememangnya sudah mempunyai enakmen yang melarang orang bukan Islam mengembangkan ajaran mereka dalam kalangan orang Islam.
Ia juga mendedahkan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih tidak memiliki undang-undang yang berkaitan.
Setakat laporan ini ditulis, masih tidak banyak maklumat lanjut berkaitan usaha yang akan dimulakan di Wilayah Persekutuan itu.
Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikatakan sudah menyiapkan draf berkenaan tetapi kandungannya belum didedahkan.
Kesalahan di alam maya, perkataan larangan ditambah
Bagaimanapun, difahamkan, undang-undang baru yang akan diperkenalkan ini kemungkinan besar akan mengambil kira kesalahan yang dilakukan di alam maya, iaitu laman web dan media sosial.
Senarai perkataan dan perbahasan dilarang terhadap golongan bukan Islam juga dikatakan akan ditambah dalam senarai sedia ada.
Malaysiakini sudah menghubungi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary – yang mendedahkan usaha itu – bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut dan masih menunggu maklum balasnya.
Portal ini juga sedang cuba mendapatkan maklumat tambahan daripada Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Untuk rekod, setakat ini, 10 negeri sudah memperkenalkan enakmen itu.
Undang-undang tersebut hampir sama tetapi senarai larangan perkataan oleh bukan Islam mempunyai sedikit perbezaan.
Sebagai contoh, Negeri Sembilan mempunyai senarai perkataan dilarang digunakan golongan bukan Islam yang lebih panjang berbanding Kelantan.
Negeri Sembilan misalnya mempunyai beberapa perkataan tambahan seperti “akhirat”, “azan” dan “ibadat”.
Bagaimanapun, kebanyakan negeri mempunyai banyak perkataan larangan yang hampir sama seperti kalimah Allah, solat dah wahyu.
Daripada sudut sejarah, Terengganu menjadi negeri terawal yang mengubal dan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam pada tahun 1980, diikuti Kelantan pada 1981.
Negeri Perlis pula menjadi negeri paling baru memperkenalkan undang-undang sama tujuh tahun lepas, iaitu pada 2014.
Berikut senarai undang-undang itu di seluruh negeri di Malaysia yang digubal berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan:
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1980.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kelantan, 1981.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kedah, 1988.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Melaka, 1988.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Perak, 1988.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Pahang, 1989.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Negeri Sembilan, 1991.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor, 1991.
- Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Perlis, 2014.
Enakmen-enakmen itu menyenaraikan kesalahan yang sama, walaupun hukuman dinyatakan berbeza mengikut negeri – antara RM1,000 hingga RM10,000 dan denda dari tiga bulan hingga setahun, atau kedua-duanya.
Denda paling tinggi diperuntukkan pada kesalahan menyebabkan orang Islam bawah 18 tahun menerima atau menyertai upacara ajaran bukan Islam.
Antara kesalahan lain digariskan termasuk:
- Mendedahkan orang Islam kepada agama bukan Islam.
- Memberikan penerbitan mengenai bukan Islam kepada orang Islam.
- Menulis, berucap, menyiarkan dan menerbitan perkataan khusus untuk umat Islam berkaitan agama bukan Islam, tak kira sama ada dalam bentuk idea, konsep, perbuatan dan aktiviti.
Secara umum, undang-undang itu di negeri-negeri berkenaan tidak mempunyai perbezaan ketara sama ada dari segi kesalahan dan hukuman.
Enakmen-enakmen negeri mentakrifkan “agama bukan Islam” sebagai agama Kristian, Hindu, Budha, Sikh, Yahudi dan variasinya termasuk ideologi dan falsafah berkaitan penyembahan dan kuasa spiritual atau sakti.
Berkaitan penerbitan pula, ia dianggap berkaitan dengan agama bukan Islam jika menepati syarat-syarat di bawah:
(a) memperkatakan sejarah, prinsip, sifat, upacara, kebaikan, dogma, perintah, atau organisasi agama bukan Islam.
(b) memperkatakan kewujudan, kuasa, orang, atau benda yang disembah atau disanjung oleh penganut-penganut atau anggota-anggota agama itu terutamanya kisah-kisah yang menjadi asas agamanya.
Bagaimanapun, penerbitan sebegitu tidak dianggap satu kesalahan jika dibuat untuk kepentingan dan faedah pada agama dan umat Islam.
You must be logged in to post a comment.