200 peguam gesa Perlembagaan dipinda berikutan kes Iki Putra

Kes timbul keadaan tiada badan Legislatif boleh gubal undang-undang halang umat Islam laku perkara haram dalam Syariah

KAMI yang bernama di bawah, bagi pihak 200 peguam bela dan peguam cara serta peguam Syarie, ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan Iki Putra v Kerajaan Negeri Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

2. Di dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan untuk berbeza dari keputusan-keputusannya sebelum ini dan menghadkan lagi bidang kuasa negeri menggubal jenayah Syariah. Dengan keputusan ini, kami bimbang makin banyak lagi peruntukan enakmen jenayah Syariah negeri-negeri yang sedia ada bakal dicabar dan dibatalkan atas alasan yang sama; yang akhirnya boleh melumpuhkan sistem jenayah Islam negeri-negeri seluruh Malaysia.

3. Di dalam kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan, secara ringkasnya, memutuskan bahawa:

(i) Walaupun negeri mempunyai bidang kuasa luas untuk menggubal kesalahan undang-undang mengikut “perintah ajaran agama Islam” (“precepts of Islam”), tetapi undang-undang ini tidak boleh menyentuh mana-mana perkara “Senarai Persekutuan” termasuklah perkara “Undang-undang Jenayah” / “Criminal Law”;

(ii) Ungkapan “Undang2 Jenayah” di bawah Senarai Persekutuan mempunyai maksud yang luas. Akibatnya ini bakal membatalkan banyak peruntukan jenayah Syariah negeri jika dicabar kelak;

Saya nak calonkan Perdana Menteri dari parti Putra – Ibrahim Ali

(iii) Walaupun tidak wujud atau tiada apa-apa pertindihan dengan mana-mana undang-undang Persekutuan yang sedia ada, undang-undang jenayah Syariah negeri tetap tidak sah jika menyentuh perkara Senarai Persekutuan terutamanya perkara “Undang-undang Jenayah”; dan

(iv) Apa-apa pindaan yang bakal dibuat dalam mana-mana peruntukan enakmen jenayah Syariah untuk mengatasi kes Iki Putra masih tetap tidak sah, jika “pith and substance”/ isi kandungannya, menyentuh perkara “Undang-undang Jenayah”.

4. Kes ini juga membawa kepada ketidaktentuan bidang kuasa. Ia boleh menimbulkan keadaan di mana tiada badan Legislatif sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri boleh menggubal undang-undang yang menghalang umat Islam melakukan perkara haram dalam Syariah.

5. Contohnya, kesalahan berjudi jelas haram dalam Islam. Tetapi kesalahan berjudi ini tergolong dalam perkara “Undang-undang Jenayah” Senarai Persekutuan. Oleh itu, mengikut kes Iki Putra, kesalahan berjudi di bawah enakmen-enakmen negeri boleh dan bakal dibatalkan jika dicabar kelak. Negeri tiada kuasa menggubal undang-undang berkenaan perjudian. Permasalahan yang timbul ialah Persekutuan pula tidak boleh menggubal apa-apa perkara dalam Senarai Negeri termasuklah undang-undang berkenaan kesalahan mengikut ajaran agama Islam. Jadi, kes Iki Putra ini menimbulkan keadaan di mana kedua-dua badan Legislatif Persekutuan dan negeri tidak boleh menghalang umat Islam khususnya dari berjudi di negeri-negeri. Ini akan juga terpakai untuk kesalahan-kesalahan jenayah yang lain. Ini satu keadaan yang amat “absurd”.

Undang-undang Selangor benarkan hukuman seks luar tabii, tidak berperlembagaan – Hakim

6. Oleh kerana kes ini menyentuh peruntukan Perlembagaan, maka pada kami, tiada penyelesaian yang sesuai wujud kecualilah Perlembagaan Persekutuan kita dipinda. Perlembagaan perlu dipinda sekurang-kurangnya kepada keadaan sebelum keputusan Iki Putra ini.

7. Kami dengan ini, bagi pihak 200 peguam bela dan peguam cara serta peguam Syarie menyeru pihak Eksekutif dan Legislatif untuk meminda Perlembagaan dengan segera yang mungkin.

Yang Benar,

Bagi pihak 200 peguam bela dan peguam cara serta peguam Syarie yang menandatangani petisyen menyeru pindaan kepada Perlembagaan berikutan kes Iki Putra,

1. Lukman Sheriff Alias, Pengerusi MACSA
2. Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
3. Musa Awang, Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

https://mykmu.net/2018/04/23/jika-tidak-mampu-membantu-saudara-anda-warga-miskin-sudah-cukup-dengan-undibn/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker