Bagi ‘durjana politik’ segalanya boleh dirunding – Shahrir Samad
Bagi “durjana politik” segalanya boleh dirunding termasuklah prinsip dan maruah, kata pemimpin veteran Umno Shahrir Samad.
Shahrir berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali berhubung isu agihan kerusi.
“Bagi durjana politik, semuanya boleh runding. Harga ke, pendakwaan ke, prinsip ke, maruah ke…runding je,” tulis bekas pengerusi Felda di Facebooknya, hari ini
Terdahulu Mohamed Azmin dilaporkan mengajak Umno kembali ke meja rundingan untuk membincangkan tentang kerusi tradisi parti itu yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Isu tersebut dikatakan merupakan salah satu faktor keretakan hubungan antara Umno dan Bersatu setelah 13 kerusi berkenaan yang dimenangi Umno pada PRU ke-14 kini dipegang Bersatu setelah wakil rakyatnya lompat parti.
BN sebelum ini memaklumkan bahawa ia tekad akan mempertahankan semua kerusi tradisinya sama ada yang dimenangi pada PRU14 atau pilihan raya kecil.
Namun, Mohamed Azmin percaya bahawa tidak wajar mengorbankan kerjasama dalam kerajaan dan politik hanya kerana perselisihan kerusi.
“Hanya 13 kerusi yang menjadi pertikaian. Yang dikatakan mereka menang atas tiket parti lain (Umno) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu).
“Tetapi pertanyaan saya ialah apakah dengan 13 kerusi ini kita mahu musnahkan 222 kerusi lagi?” katanya.
You must be logged in to post a comment.