Awas jika ambil kesempatan guna alasan hantar anak ke asrama untuk bercuti
KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau ahli keluarga yang mengambil kesempatan dengan kelonggaran merentas negeri untuk menghantar anak ke pusat pengajian sebaliknya melakukan aktiviti pelancongan akan diambil tindakan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ibu bapa perlu bersikap bertanggungjawab dan jujur apabila kerajaan membenarkan mereka melakukan perjalanan merentas negeri tanpa memohon surat daripada polis untuk menghantar anak ke asrama dan pusat pengajian.
“Kita bersetuju membenarkan ibu bapa melakukan perjalanan merentas negeri untuk menghantar anak ke asrama tanpa perlu memohon kebenaran surat polis, sebaliknya cukup sekadar surat kemasukan tempat belajar. Bagi mereka yang tinggal jauh mungkin tidak sempat untuk pulang hari sama juga dibenarkan bermalam bagi menyelesaikan urusan kemasukan anak-anak.
“Tapi kalau perjalanan mereka dalam surat anak masuk asrama sebagai contoh 10 hari bulan, tentu sahaja paling lewat mereka kena balik 11 atau 12 hari bulan. (Namun jika) selepas tarikh itu sampai 13,14, dan 15 belum balik tentu sahaja mereka bercuti dan kalau ditahan polis mereka akan diambil tindakan.
“Jadi saya rasa dalam isu ini ibu bapa perlu bertanggungjawab, tidak perlu berbohong pihak polis,” katanya.
Tidak perlu surat rentas daerah, negeri hantar anak ke asrama – Ismail Sabri
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas segelintir pihak cuba mengambil kesempatan terhadap kelonggaran merentas negeri diberi kerajaan kepada keluarga dalam keadaan itu.
Dalam perkembangan lain, Ismail turut memaklumkan kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kg Acheh, Manjung, Perak bermula esok.
Selain itu, katanya, polis semalam menahan 269 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 251 telah dikompaun manakala 18 individu direman.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan, merekod butiran diri atau pelanggan (85), tiada penjarakan fizikal (66), tidak memakai pelitup muka (65), merentas negeri tanpa kebenaran (24), aktiviti pusat hiburan (14) dan lain-lain (15),” katanya.
Sementara itu, dalam tempoh sama menerusi Operasi Benteng pihak berkuasa menahan 29 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk merampas empat bot.