Al-Fatihah: Kakitangan MRT maut digilis treler
KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan Transit Aliran Massa (MRT) maut selepas digilis sebuah treler di laluan susur ke Lebuhraya Sultan Iskandar Shah (Lebuhraya Mahameru) di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, Nur Saiful Fitri Samsulnzli, 28, disahkan meninggalkan dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata siasatan awal mendapati mangsa dari arah Damansara dipercayai cuba mencelah di antara sebuah kereta Perodua Axia dan sebuah treler ketika memasuki terowong di Jalan Duta memasuki Lebuhraya Sultan Iskandar Shah.
Katanya, motosikal ditunggang Nur Saiful kemudian bergesel pada bahagian sisi kiri Perodua Axia terbabit dan terjatuh.
“Mangsa yang terjatuh di bawah tayar kanan treler kemudian digilis, manakala pemandu kereta dan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan teruk apabila ribuan kenderaan dari arah Jalan Duta dan Jalan Tun Sambanthan tidak dapat memasuki terowong menuju ke arah Lebuhraya Mahameru untuk laluan ke Sungai Besi, Bangsar dan KL Sentral.-BH
Suspek pecah rumah maut digilis