`Susah-susah sangat biar saya jadi Perdana Menteri’
PELUANG menekuni negarawan yang satu ini, ibarat menaiki mesin rentas masa dan kembali ke zaman silam. Beliau yang dimaksudkan ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang kini Pengerusi World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF).
Bersama-sama dengan tokoh seperti Tunku Abdul Rahman serta Tun Abdul Razak sewaktu membangunkan negara, beliau bukan sekadar menyaksikan pelbagai peristiwa sejarah, malah terbabit secara langsung mencorakkan naratifnya.
Memberi lebih nilai sentimental kepada wawancara ini, Musa juga mengaku bahawa sejak sekian lama menghilangkan diri dari radar, kini beliau tampil membuka mulut kepada Mingguan Malaysia sebagai dedikasinya kepada bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Allahyarham Tan Sri Melan Abdullah atau Pak Melan.
Ikuti wawancara eksklusif ini yang disertai wartawan Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub serta Aida Rizmariza Kamaruddin. Ia turut dibantu juruvideo Mohd. Fikri Padil @ Fadzil serta jurukamera Muhamad Iqbal Rosli.
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Tun kongsikan sedikit perkembangan terkini?
MUSA: Sebelum ke subjek itu, suka saya berkongsi bahawa di peringkat dunia seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Negara-Negara Komanwel, saya kerap kali jadi pengerusi. Tabiat saya, bila ada mesyuarat, apabila semua orang sudah duduk dan bersedia bermesyuarat, alih-alih saya pula akan bercerita hal lain. Dalam masa itulah, saya dapat mententeramkan semua orang termasuk diri sendiri (tertawa). Sama juga macam temu bual hari ini.
Boleh ulas pembabitan dalam organisasi peringkat dunia?
Ada satu pengalaman saya pada 1998 sewaktu di UN Commission on Human Rights di Geneva, Switzerland. Dalam persidangan penting PBB itu, saya dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Ia jawatan yang sangat penting yang saya pernah pegang, very rare. Namun ada tapinya.
Tapi apa Tun?
Tapi malang, tak masuk surat khabar, sebab sudah tiada kuasa masa itu (tertawa). Saya juga waktu itu dikenali sebagai seorang yang tak berapa baik dengan Perdana Menteri, akibatnya tak masuk akhbar, walaupun itu pemilihan yang boleh dikatakan amat membanggakan dalam personaliti di dunia. Cuma seorang sahaja daripada Asia selain saya yang pernah terpilih dalam jawatan itu, iaitu bekas Perdana Menteri India, Madam Indira Gandhi.
RELAX, MAN
Apa berlaku dalam persidangan itu?
Bila saya jadi Presiden waktu itu, lebih kurang 2,000 delegasi seluruh dunia hadir. Ada perdebatan berhubung kedudukan hak asasi manusia di China. Ketika persidangan, delegasi Amerika diketuai oleh Bill Richardson, dia anggota administratif Presiden Bill Clinton yang juga ahli Kongres.
Ada apa dengan Richardson?
Bila masa perbahasan, saya panggil semua delegasi Amerika mulakan debat. Tapi Richardson tiada di situ. Kemudian orang panggil, dia datang, terus duduk dan tanpa hujung pangkal, dia terus bercakap. Semua orang tengok, saya pun ketuk gavel (tukul hakim).
Kenapa ketuk gavel?
Saya ketuk dan cakap “order, order, order, let me remind you, the delegation of The United States. You are the sole power in the world. Now, please behave yourself, please take it easy, and please relax man”. Orang lain semua terkejut. Tidak pernah mana-mana Presiden terdahulu yang cakap sebegitu di depan delegasi sedunia. Kemudian, seluruh dewan gelak ketawa.
HILANG DARI ‘RADAR’
Kenapa Tun lama berdiam dan hilang dari ‘radar’ media?
Ini kali pertama sejak sekian lama saya berdepan dengan media dan bersetuju ditemu bual. Sebabnya, sejak berbelas tahun saya memegang jawatan sekarang iaitu Pengerusi WIEF, saya menentukan dalam WIEF ini kita tak seharusnya menyentuh hal agama dan politik. Saya juga nak tegaskan, wawancara ini atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili WIEF.
Apa itu WIEF?
WIEF ini asalnya cabang kecil Pertubuhan Islam Sedunia (OIC). Waktu OIC masih aktif, ketika Tun Abdullah Badawi jadi Pengerusi, diadakan persidangan OIC di Kuala Lumpur. Sepanjang masa itu, OIC terlalu banyak sentuh isu politik. Maka beliau hendak supaya ada satu cabang yang fokus pula ke atas hal ekonomi negara peserta, dan ditubuhkan WIEF ini pada 6 Mac, 2006.
SENTIMEN UTUSAN
Apa mendorong setuju ditemu bual?
Kerana yang temu bual saya ialah Utusan Malaysia. Kenapa? Sebab saya sangat sentimental dengan Utusan Malaysia, sejak saya mula berpolitik dulu sampailah saya jadi Setiausaha Kerja UMNO, berterusan hingga saya memegang jawatan yang lebih tinggi. Pada masa sama, saya mahu mendedikasikan temu bual ini kepada sahabat saya di Utusan, iaitu arwah Tan Sri Melan Abdullah atau Pak Melan, yang merupakan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu.
Pandangan terhadap Pak Melan?
Dia ini typical grass root man, tahap pendidikan tak terlalu tinggi, tapi sangat spontan. Personalitinya sangat luar biasa, dia tak peduli siapa kamu, apa jawatan kamu, dia akan cakap tanpa selindung. Dia juga ahli UMNO, tapi pengkritik UMNO yang berani. Dia tak takut sesiapa, malah dia terlibat dalam demonstrasi terhadap UMNO di hadapan khalayak ramai. Dia lelaki yang tak boleh saya lupakan.
SIBUK SOAL KERUSI
Bagaimana UMNO dulu berbeza dengan sekarang?
Politik sekarang ada kelompok masing-masing, ada berpuluh yang berselerak. Tapi apa isu sebenarnya? Sekarang, seorang pun tak cenderung soal falsafah dan ideologi politik, tiada. Sebaliknya, masing-masing sibuk soal berapa kerusi mereka dapat, dan siapa akan berpihak kepada siapa. Orang belah sini akan lompat ke sana, itu sahaja isunya sekarang.
Zaman dulu pula macam mana?
UMNO zaman dulu, zaman Utusan Melayu dulu berasas kepada falsafah dan ideologi. Sekarang tiada penjiwaan sebegitu. Dulu politik UMNO itu mudah, tapi kaya dengan perbahasan dari segi falsafah serta ideologi.
SOSIALIS, PRO-BARAT
Ideologi macam mana?
Ideologi global. Tunku Abdul Rahman waktu itu, dia menjadi simbol kepada pihak Barat. Tun Abdul Razak pula, dia lebih kepada mewakili negara di blok neutral atau disebut non-alligned bloc, serta blok negara membangun atau developing nation states. Di dunia pula pada waktu itu, ada tiga sahaja blok. Pertama ialah Barat atau kapitalis, kedua komunisme dan ketiga adalah kelompok negara berkecuali yang sedang membangun.
Boleh ulas lanjut?
Bila kita guna terminologi negara berkecuali, ia adalah soal politik. Di Malaysia, Tunku Abdul Rahman di blok Barat. Tun Razak pula, beliau tak pernah isytihar dirinya sebagai anti-Barat. Tapi melalui tindakan dan polisinya yang kita semua saksikan, beliau sentiasa memihak kepada negara mundur serta negara berkecuali. Kerana saya rapat dengan Tun Razak, maka saya dicop sebagai orang Tun Razak. Yang anehnya, mereka yang bersama dengan Tun Razak juga dicop sebagai sosialis. Ada pula yang lebih anti kepada Tun Razak, mereka label kita sebagai komunis.
Pandangan Tun terhadap politik semasa?
Saya bosan atas keadaan keseluruhan. Ada sekali, saya cakap apalah kamu semua ini wahai ahli politik, macam main masak-masak sahaja kamu buat politik ini. Politik untuk diri sendiri. Mereka tak berpolitik untuk kepentingan negara, sebaliknya survival peribadi.
Siapa ‘mereka’ itu?
Daripada Tun Mahathir, sampailah kepada Muhyiddin, kepada Anwar Ibrahim, kepada semua. Malah dalam sibuk-sibuk politik ini, Rina Harun pun masuk sekali (tertawa). Tengok, kamu sendiri pun ketawa bila saya cakap macam ini, tandanya kamu pun setuju dengan saya. Meski begitu, ini sebenarnya isu serius.
RASUAH MUSNAHKAN PARTI
Bolehkah UMNO survive pilihan raya akan datang?
Dulu, UMNO kuat tak boleh ditandingi. Begitu kuat UMNO hinggakan kita berani berkata, UMNO adalah Melayu dan Melayu adalah UMNO. Tapi dalam kita memegang jawatan, proses korupsi berlaku. Pertama, korupsi kuasa. Kedua, korupsi minda dan kemudian korupsi mentaliti. Slowly but surely ini terjadi dalam UMNO. Budaya kita sudah berubah akibat kuasa. Kuasa yang kita nikmati secara dominan, ia menghakis diri kita.
Apa kesan akibat korupsi itu?
Beberapa tahun lepas, saya menyatakan apa yang sedang jadi kepada UMNO adalah proses kemerosotan. Waktu itu saya cakap, UMNO akan meletup di peringkat dalaman. Bila sudah mula perebutan kuasa dalam parti, yang mana saya tak nak sebut sebarang nama, saya cakap UMNO akan meletup dari dalam. Kini selepas letupan itu, ia terpecah kepada tiga kelompok. Kalau hal ini berterusan UMNO tak akan ada peluang, UMNO boleh dikatakan tiada harapan lagi hendak jadi parti dominan seperti dulu.
Apa kelompok dalam UMNO sekarang?
Ada tiga, satu UMNO yang tulen. Maknanya betul-betul orang yang hati sanubarinya UMNO. Kedua, yang menyebelahi pucuk pimpinan dan ini diketuai oleh Presidennya Zahid Hamidi, bersama dengan Najib. Ketiga ialah mereka yang berkebolehan, masih percaya kepada UMNO tapi tak diberi peluang menonjol ke hadapan.
Macam mana selamatkan UMNO?
Pertama, UMNO harus ambil pendirian siapa juga yang ada hubung kait dengan dakwaan di mahkamah, harus diketepikan sehinggalah kamu boleh buktikan bahawa kamu tak bersalah. Dengan cara itu sahaja masyarakat akan menghormati kita.
Apa lagi langkahnya?
Kedua, kalau ada yang keluar, barulah kumpulan yang saya sebut sebagai kelompok ketiga, yang berkebolehan itu boleh diangkat untuk memimpin parti. Yang ketiga, mereka ini sama ada berpengalaman atau tidak, kita jangan terus kecam sebagai mentah dan tak berpengalaman. Tengok sekarang, berapa banyak negara di dunia yang pemimpinnya dalam kalangan orang muda. Tiada pengalaman pun, yang penting belajar.
JADI PERDANA MENTERI?
Siapa Tun lihat layak memimpin negara sekarang?
Ini nak cakap sikit. Saya ini kadang-kadang teringat nak jadi Perdana Menteri. Sebab saya tengok, asyik Mahathir saja yang jadi Perdana Menteri, macam tiada orang lain. Sekarang pula, sebab yang lain-lain pun berebut nak jadi, maka kali ini biarlah saya cadangkan diri saya.
Tun memang sedia nak bertanding?
Hai, kamu semua ini, saya bergurau sahaja lah, janganlah serius sangat (tertawa). Takkan lah saya nak, saya dah insaf dan sedar masa saya sudah berlalu. Tapi saya serius bila cakap bab UMNO tadi. Saya lihat hanya satu sahaja cara untuk UMNO kembali gemilang.
LOMPAT PARTI
Komen Tun isu lompat parti?
Cerita ini di mana-mana pun terjadi, tapi negara membangun lebih biasa berlaku. Di Malaysia ini adalah antara negara yang mana terlampau banyak ahli politik melompat parti. Hingga ia jadi satu jenaka, kita gelarkan yang melompat itu sebagai katak. Ini istilah baru. Orang bandar atau kampung, bila jumpa wakil rakyat yang lompat ini, mesti panggil dia katak. Maknanya, yang aneh dalam isu melompat parti yang menjadi-jadi sekarang, pandangan saya bukan kerana politik atau ideologi.
Habis kerana apa?
Kalaulah sesuatu itu boleh dianggap sebagai ideologi, dengan dapat duit itu ideologi wang, itulah yang mungkin sebenarnya sedang terjadi. Orang kata, sekarang ini duit habuannya bukan kecil-kecil macam zaman dulu. Kejadian sebegini akan lebih menjadi-jadi bila pilihan raya dah dekat. Oleh itu, saya gesa satu undang-undang antilompat digubal segera.
DANA POLITIK
Pandangan mengenai akta pembiayaan dana politik?
Beberapa tahun lepas, pihak SPRM ada berjumpa saya. Mereka tanya macam mana cara kita nak mengatasi isu dana politik. Pandangan saya, memang ia satu cabaran kalau nak dikuatkuasakan.
Kenapa?
Sebab orang yang tertakluk kepada undang-undang ini, ialah orang yang mempraktikkan budaya politik wang. Jadi dalam isu dana politik ini pada saya ia harus direkodkan, maksudnya sesiapa yang menyumbangkan duit kepada mana-mana parti, harus direkodkan serta diaudit. Tapi nampak saya dengan keadaan yang ada sekarang, susah nak laksanakan. Namun harapan saya, agar generasi baru akan menjalankan usaha ini.
UMNO -VS – BERSATU
Surat UMNO kepada Bersatu yang minta ditamatkan hubungan, apa komen Tun?
Sebelum saya jawab, saya hendak petik kenyataan seorang sarjana bernama Thomas Sowell. Tapi saya harap ia dikekalkan dalam bahasa asal, yang berbunyi begini: politics is the art of making your selfish desires seem like the national interest. Dalam isu ini, ia tak lebih dari sekadar political posturing atau tabiat politik.
Maksud Tun?
Maksudnya, hanya cakap-cakap, terjerit-jerit sahaja tapi secara praktisnya, tiada apa-apa pun. Ini (putuskan hubungan) adalah mustahil, dan tidak akan berlaku. Sebenarnya, mereka ini sedang buat kira-kira dan congak politik, “aku kalau pergi parti sana, kalau tiga orang keluar, kerajaan boleh jatuh”. Tapi hakikatnya dia juga yang duduk dalam kerajaan itu. Pokoknya, mereka tak maksudkan perkara itu. Macam mana mereka hendak buat, sedangkan UMNO itu sebahagian dari kerajaan sekarang. Politik di Malaysia ini hanya untuk kepentingan diri sendiri. – Mingguan Malaysia
Boleh Tun kongsikan pandangan terhadap pemimpin-pemimpin sekarang?
NAJIB RAZAK
Untuk berlaku adil, Najib telah membuktikan kemampuan sebagai pemimpin. Saya kenal dia, dan dia mempamerkan kebolehan memimpin yang saya boleh anggap sebagai yang terbaik sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman sampai sekarang. Saya anggap Najib sebagai antara Perdana Menteri yang paling berjaya. Bijak, dia sangat bagus dari segi akademik dan boleh buat keputusan. Malah, dia juga berupaya mendapatkan perspektif yang baik dalam hal-hal penting. Tapi malangnya, terjadilah sesuatu yang sudah terjadi kepada dia yang saya tak mahu ulas. Tapi kalau tolak semua itu, saya rasa dia yang terbaik sebagai pemimpin.
ZAHID HAMIDI
Saya kenal dia, dahulu dia Ketua Pemuda. Waktu itu boleh anggap dia sebagai orang saya. Tapi saya nak sebut, bila dia jadi Timbalan Perdana Menteri, dia cukup berbudi bahasa dan datang berjumpa saya, datang ke rumah saya untuk beritahu saya. “Tun, ingat tak waktu Tun beritahu saya, saya mesti kerja kuat nak memegang jawatan tinggi. Sekarang, saya Timbalan Perdana Menteri. Tun ingat tak, suruh saya belajar. Sekarang saya ada Ijazah Kedoktoran (PhD)”. Dia juga sangat kuat di peringkat akar umbi, rajin turun ke kampung dan pandai bercakap. Malangnya, dia sendiri pun ada juga terpalit dakwaan di mahkamah.
ANWAR IBRAHIM
Saya boleh cakap tanpa keraguan, dia layak sebagai Perdana Menteri. Dia ada karisma dan bagi saya, dia patutnya dah jadi Perdana Menteri, tapi ada seorang yang berjanji pada dia, beberapa kali, kawan itu tunggu punya tunggu, akhirnya tetap tak jadi. Dulu kalau orang yang berjanji itu kasi pada dia, saya kata boleh, good idea. Tapi malangnya, orang yang berjanji itu tak kasi (tertawa).
HADI AWANG
Saya tak kenal dia. Saya lebih kenal dengan arwah Tuan Guru Nik Aziz, dan beliau sangat luar biasa kepemimpinannya. Tapi saya tak mahu ulas bab itu ya. Hadi, sekali saja saya ingat, dia pernah tegur saya, pegang bahu saya di Parlimen dulu. Tapi sekarang rasanya dia sudah lupa. Kamu masukkan dalam surat khabar, kalau-kalau dia ingat peristiwa itu.
LIM KIT SIANG
Saya kenal dia waktu mula-mula dia masuk politik. Waktu itu saya Setiausaha Kerja UMNO, dia pula Setiausaha kepada Presiden Singapura, Devan Nair. Kit Siang waktu itu berlari ke sana ke mari dan kita bertembung beberapa kali, dan saya tak kira politik atau tak waktu itu, kita bercakap dan berkawan.
Ada cerita menarik pasal dia ini. Dia selalu datang rumah saya. Masa mula-mula Pakatan Harapan (PH) memerintah yang mana Mahathir jadi Perdana Menteri, dia (Kit Siang) berkunjung ke rumah saya. Dia terlalu seronok waktu itu sebab dah jadi kerajaan, maka asyik bercakap, saya diam sahaja. Di penghujung perbualan, saya cakap. “Kit Siang, terima kasih beritahu saya semua ini. Tapi saya nak cakap satu perkara, saya tak percayakan Mahathir”. Dia bangkang, dia cakap oh kamu tak maafkan orang. Saya cakap ini bukan soal memaafkan, cuma dari sudut politik saya memang tak percaya kepada Mahathir. Sekarang, dia mesti malu nak jumpa saya sebab kata-kata saya dulu terbukti benar.
TENGKU RAZALEIGH
Kami memang rapat, cuma bezanya ialah dia anak raja. Dia punya budaya lebih halus dan kelakuannya memang mencerminkan statusnya. Saya ini apa, pokai anak kampung sahaja. Saya masih ingat sewaktu awal-awal masuk politik, saya sangat kagum dengan Tengku Razaleigh. Waktu itu, saya macam ternganga masa tengok dia. Tapi sejak itu kami jadi kawan baik.
MUHYIDDIN yassin
Saya memang mengenali beliau. Bahagian UMNO beliau di Johor juga sebelah saya, dia Muar saya pula Segamat. Satu perkara mengenai Muhyiddin saya nak sebut, dia banyak pengalaman dalam pelbagai cabang kementerian. Beliau ada kelebihan juga. Bahasa Melayu dia sangat bagus, bahasa Inggeris dia juga bagus, agama dia juga, maklumlah orang Johor ini agamanya bagus (tertawa).
Orang kata kerajaan dia sekarang ini pintu belakang. Tiada yang hormat, hari-hari orang bantai. Tapi apapun, Muhyiddin berjaya kalahkan Mahathir untuk jadi Perdana Menteri (tertawa). Muhyiddin beat Mahathir to it. Tiada apa yang nak dimalukan kalau dianggap oportunis dalam politik, its part and parcel of a character.
MAHATHIR Mohamad
Banyak cerita kalau nak cakap pasal Mahathir. Saya dah kenal Mahathir berpuluh tahun, dan dia bagi saya adalah pemimpin terbaik dalam kalangan terbaik. Dengan dia ni, don’t cross his red line. Kalau kamu nak lawan dia, kamu kena sedia untuk dikalahkan. Namun, kisah terkini dengan beliau, waktu dia jadi Perdana Menteri selama dua tahun baru-baru ini, saya fikir macam mana nak jumpa dengan dia. Jadi saya beritahu pegawai di WIEF ini, kita buat kunjungan hormat kepada beliau.
Permohonan diterima, dan kami bertemu Mahathir pada waktu tengah hari. Tipsnya, jangan bertemu beliau sewaktu mood dia tak baik (tertawa). Masuk ke bilik pertemuan, dia terkejut sebab dia sangka orang lain. Bila dah perasan, saya beritahu saya mewakili WIEF. Belum sempat cakap yang lain, dia terus berleter cakap kerajaan dah tiada duit, kerajaan tak mampu nak beri sumbangan kewangan kepada WIEF.
Lepas itu saya cakap: “Tuan Perdana Menteri, kami datang bukan untuk minta duit. Kami datang untuk membuat kunjungan hormat”. Kemudian dia tanya tahun itu di mana WIEF akan bersidang, saya cakap di Qatar. Dipendekkan cerita, semasa WIEF membuat kunjungan ke Doha untuk menandatangani perjanjian dengan kerajaan Qatar, beliau juga menyertai majlis tersebut.
Dalam majlis itu, saya beritahu Mahathir bahawa persidangan di Doha merupakan persidangan terakhir saya sebelum saya letak jawatan dari WIEF. Kamu tahu, dia pandang saya dan tanya, “siapa nak gantikan tempat kamu?”. Saya pandang dia semula, saya cakap, “eh, kamu masih sayangkan saya!”. – MINGGUAN MALAYSIA