Parlimen tidak boleh bersidang sebab ramai 'orang tua' hanya alasan - Mahathir — MYKMU.NET

Parlimen tidak boleh bersidang sebab ramai ‘orang tua’ hanya alasan – Mahathir



Sebaran :

Kenyataan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) , Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Parlimen tidak boleh bersidang dalam masa terdekat kerana kebanyakan Ahli Parlimen adalah dalam kalangan kumpulan yang berisiko hanyalah alasan semata-samata, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, sehingga kini, tiada rekod yang menunjukkan kes-kes COVID-19 berpunca daripada persidangan Dewan Rakyat selain lokasi yang selamat untuk diadakan sesi perbahasan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya ini umur 95 (tahun), saya pergi ke Parlimen kerap dan saya tak dapat sakit apa (pun), saya pun tak dijangkiti wabak sehingga hari ini saya dapat suntikan, dapat suntikan saya lebih selamat, jadi nak bagi alasan kononnya ada orang tua dan sebagainya ini bukan alasan untuk tidak mengadakan sidang Parlimen, tidak ada satu kes pun semasa sidang Parlimen,” kata beliau.



Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima suntikan vaksin COVDI-19 di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Langkawi, di sini pada Ahad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau serta majoriti Ahli Parlimen bersedia untuk mematuhi segala peraturan baharu yang dikuatkuasakan dalam mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan wakil rakyat termasuk pemasangan penghadang dan penjarakan tempat duduk.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa suntikan vaksin COVID-19 terhadap Ahli-Ahli Dewan Rakyat juga juga mampu memberi lebih perlindungan terhadap kumpulan terlibat termasuk menghadiri sesi sidang Parlimen.

Ini kerana, menurut beliau, Dewan Rakyat mampu menjadi medan terbaik untuk kesemua Ahli Parlimen mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap segala permasalahan yang dihadapi tatkala negara dilanda pandemik COVID-19.



Takiyuddin sebelum ini berkata, tiada keperluan lagi untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh Proklamasi Darurat.

Katanya, persidangan Parlimen akan diputuskan oleh Jemaah Kabinet berdasarkan keadaan semasa dalam negara sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, hampir sebahagian Ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko dan pihaknya tidak mahu terdedah kepada perkara-perkara yang akan menjadi sebab kepada penularan COVID-19 kerana mereka berada di ruang yang tertutup.




Sebaran :


Leave a Reply