Zii Jia mudah ke suku akhir
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Terbuka Switzerland, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas pemain ranking ke-11 dunia berkenaan tidak berdepan masalah untuk mengatasi Victor Svendsen dari Denmark 21-15, 21-11 pada aksi pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Basel.
Dia yang dikritik hebat susulan prestasi hambar pada tiga kejohanan di Thailand, Januari lalu akan bertemu pemain India, B Sai Praneeth bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.
Sementara itu, tiga beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke kelompok lapan terbaik selepas menang ke atas lawan masing-masing.
Peng Soon-Liu Ying yang tampil sebagai pilihan pertama menang ke atas pasangan Perancis, Ronan Albar-Anne Train 21-12, 21-16 dan akan bertemu Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark pada aksi suku akhir.
Program kanak-kanak mengenai ‘zakar terpanjang di dunia’ jadi kejutan.
Soon Huat-Shevon pula yang digugurkan daripada skuad kebangsaan awal bulan lalu berjaya mengatasi pasangan Denmark, Rasmus Espersen-Christine Busch 21-10, 21-15 dan akan membuat perhitungan dengan pilihan keenam kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue bagi memburu tempat ke separuh akhir.
Kian Meng-Pei Jing cemerlang apabila mara menerusi kemenangan ke atas pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Kilasu Ostemeyer 21-14, 21-17 dan bakal berdepan Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponappa dari India.
Dalam pada itu, beregu lelaki profesional, Teo Eei Yi-Ong Yew Sin turut ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Denmark, Joel Eipe-Rasmus Kjaer 21-18, 21-13 dan akan bertemu Satwiksairaj-Chirag Shetty dari India.
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak perlu bermandi peluh untuk layak ke suku akhir apabila lawan mereka di pusingan kedua dari Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhede menarik diri.
Mereka akan menentang pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin esok.
You must be logged in to post a comment.