Zahid: Tiada lagi negeri PKP, bila parlimen boleh bersidang?
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyoal bilakah kerajaan berhasrat untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya mengadakan persidangan parlimen.
Ini katanya, kerana negara sudah menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan lebih banyak perniagaan dibenarkan dibuka.
“Memandangkan tiada lagi negeri dikenakan PKP, agak-agaknya bila pula parlimen boleh kembali bersidang,” soalnya pada hantaran di Facebook.
Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan berkuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bermula 5 Mac ini, manakala pada masa sama, penguatkuasaan PKPB kekal di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak.
Bagi Melaka, Pahang,Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan, perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan dikuatkuasakan, juga bermula 5 Mac ini.
Penguatkuasaan PKPP kekal di Perlis.
Bermula 5 Mac pusat pelancongan, pawagam dan pusat penjagaan diri dibenarkan beroperasi tertakhluk prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan Covid-19.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah telah bertitah bahawa “tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.”
Oleh itu, Zahid, yang juga ahli parlimen Bagan Datuk, berkata sidang Dewan Rakyat perlu berlangsung walaupun dalam keadaan darurat.
“Pak Menteri sila ‘move on’. Jom kita bersidang demi kepentingan rakyat dan negara. Inikan negara demokrasi,” katanya lagi.
PKP mula dilaksanakan pada 13 Januari. Pengisytiharan darurat pula pada 11 Januari.
Pengisytiharan darurat, yang berakhir pada Ogos ini, juga menyaksikan penggantungan parlimen.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata darurat diperlukan untuk membantu memerangi wabak Covid-19.
Tetapi pengkritik menuduhnya cuba menyekat parlimen bersidang setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.
Ini apabila dua ahli parlimen Umno, MP Padang Rengas Nazri Aziz dan MP Machang Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Bagaimanapun, Muhyiddin kembali memperoleh majoriti mudah setelah dua lagi ahli parlimen PKR berpaling tadah.
Muhyiddin telah memberi jaminan akan mengadakan pilihan raya umum selepas berjaya mengendalikan wabak Covid-19.
Penularan wabak itu kini secara beransur-ansur berkurangan dengan 1,555 kes baru semalam, yang terendah untuk tahun ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah juga telah bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.