Sistem pencen penjawat awam perlu diubah

 

Penjawat awam beruntung kerana dilindungi skim pencen selepas persaraan. Mereka tidak perlu risau hilang sumber pendapatan walaupun tidak lagi bekerja atau tidak mampu meneruskan perkhidmatan.

Bagaimanapun, isu sering didengari kebelakangan ini ialah kemapanan Skim Pencen Perkhidmatan Awam. Ini berikutan saiz perkhidmatan awam bertambah, apatah lagi peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia.

Justeru, tanggungan kerajaan untuk membayar pencen semakin meningkat. Maka ia membawa kepada isu persaingan penggunaan dana awam untuk kegunaan lain terutama pembangunan.

Skim pencen sekarang dibiayai kerajaan melalui dana awam. Kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan kerajaan sebagai majikan menyumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

KWAP melaburkan wang terkumpul, maka jumlahnya akan berlipat ganda. Wang terkumpul digunakan melunaskan pencen pesara.

Seimbas pandang, skim itu tidak lain adalah sebagai faedah tambahan kepada pekerja kerana ia datang sepenuhnya daripada majikan, manakala pekerja sendiri tidak perlu mencarum.

Ia berbeza dengan model skim pencen memerlukan sumbangan pekerja semasa bekerja atau apa dipanggil sistem pay-as-you-go (PAYG), sekali gus sama dengan sistem KWSP.

Sudah tiba masanya sistem pencen penjawat awam di negara ini berubah kepada konsep PAYG. Mereka perlu diwajibkan mencarum di samping sumbangan daripada majikan.

Sistem ini dijangka mampu meringankan beban kerajaan, seterusnya meningkatkan peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan.

Bukan itu sahaja, alasan lebih kukuh mengenai kebaikan sistem ini berbanding kaedah semasa adalah kerana ia menerapkan elemen progresif.

Elemen progresif yang dimaksudkan ialah kemampuan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi. Pada masa sama, kebajikan pekerja tidak tergugat, yakni pesara terus menerima pencen seperti sedia.

Sistem caruman PAYG ini turut menjernihkan isu dikaitkan dengan pesara menerima gaji tanpa bekerja.

Pengukuhan pertumbuhan ekonomi dijana sistem ini adalah berkaitan penerapan produktiviti ke dalam ekonomi. Skim pencen berasaskan caruman pekerja meningkatkan produktiviti.

Ini berbeza dengan skim berdasarkan kebajikan yang memberi impak negatif kepada produktiviti. Ia perkara biasa dikaitkan dengan sistem kebajikan sosial. Ia tidak menggalakkan pekerja untuk bekerja lebih kuat kerana tidak memberi kesan kepada kebajikan mereka.

Sistem PAYG sebaliknya boleh dirangka dengan penerapan nilai kerajinan bekerja dalam kalangan pekerja. Jumlah pencen diterima boleh dikaitkan dengan prestasi seseorang pekerja.

Selain itu, sistem ini membabitkan perpindahan faedah antara generasi. Pencen diterima pesara sekarang, realitinya dibayar melalui hasil caruman pekerja masih aktif.

Wang caruman pekerja terus masuk ke tabung KWAP untuk dilaburkan dan juga bagi membayar pencen pesara kini.

Hal ini berbeza dengan konsep KWSP yang pencarum menabung dan berhak menerima dividen. Pencen mereka bergantung kepada jumlah ditabung berserta dividen ketika bersara.

Selagi produktiviti pekerja tumbuh dengan positif, sistem ini dijangka kekal mampan. Produktiviti pekerja pula berkemungkinan besar tidak akan menurun. Paling buruk pun, pertumbuhan produktiviti menjadi perlahan. Maka, kelestarian sistem ini tidak perlu digusarkan.

Sementara itu, perubahan sistem daripada tiada caruman kepada caruman pekerja boleh dilakukan tanpa memberi tekanan kepada pekerja. Bahkan, ia boleh dilakukan dengan memberi manfaat tambahan.

Kerajaan secara efektifnya akan mengurangkan sumbangan kepada KWAP kerana digantikan sumbangan daripada pekerja. Maka, lebihan itu mungkin boleh ditimbangkan untuk kenaikan gaji penjawat awam secara menyeluruh.

Kenaikan ini akan memberi dorongan kepada kenaikan gaji swasta, seterusnya memberi kesan positif kepada produktiviti. Ini dapat membantu menyelesaikan isu gaji rendah di negara ini.

Dalam pada itu, caruman pekerja perlu juga diberi pelepasan cukai pendapatan. Ia faedah tambahan kepada pekerja sebagai motivasi untuk berhijrah kepada sistem caruman ini.

Penulis adalah Felo Kanan Social Welbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker