Warga emas kembali ke pangkuan keluarga selepas terkandas di Sibu lebih 30 tahun
LABUAN: Seorang warga emas berusia 70 tahun yang terkandas lebih 30 tahun di Sarawak akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya dengan bantuan satu operasi belas ihsan.
Wanita itu, yang dikenali pasti sebagai Salmah Adeh berasal dari Labuan, meninggalkan kampung halamannya 32 tahun lalu demi kehidupan lebih baik di beberapa daerah di Sarawak sebelum berpindah ke Sibu, Sarawak namun nasib tidak menyebelahinya kerana terpaksa hidup merempat selepas itu.
Ahli keluarga Salmah di Labuan melakukan segala usaha mengesannya, namun tiada siapa tahu di mana dia berada.
Keadaan hidup Salmah semakin teruk selepas menjadi mangsa ragut di Sibu dan kehilangan kad pengenalan serta wang tunai disimpan dalam dompetnya.
Semasa berada di Sibu, dia bekerja dengan penjual di sebuah pasar dan mempunyai tempat berteduh, namun selepas majikan yang dikenali sebagai “Hajah” meninggal dunia, Salmah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa hidup merempat.
Demi meneruskan kehidupan dan mengisi perutnya, Salmah membantu penjual sayur di pasar kering serta tidur di kaki lima lebih 20 tahun.
Pada 8 Jan lalu, dia dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan selepas ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh seorang insan baik hati.
Koresponden Bernama di Sibu kemudiannya menyiarkan kemelut hidup warga emas itu pada Februari dan berjaya menjejaki anak saudara lelakinya, Zamain Ma’in di Labuan yang berusaha membawa Salmah pulang, namun menemui jalan buntu susulan larangan merentas negeri akibat penularan Covid-19.
Bagaimanapun, sebuah badan bukan kerajaan, Persatuan Amal Kebajikan Insan Sarawak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat di Sibu dan Lawas memulakan usaha menghantar Salmah pulang ke pangkuan keluarga serta menemui anak perempuannya Noredah Saman, 47.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Rithuan Ismail berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin Labuan yang terlibat dalam operasi belas ihsan itu.
Noredah berkata, ketika berpisah dengan ibunya yang berhijrah ke Sarawak untuk mencari rezeki, dia berusia 15 tahun.
You must be logged in to post a comment.