MYEG lancarkan ujian Covid-19 menggunakan air liur mulai 1 Mac

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan digital MY E.G. Services Bhd (MYEG) akan memperkenalkan ujian saringan Covid-19 menggunakan persampelan air liur di rumah bermula 1 Mac ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata inisiatif itu yang dijalankan dengan kerjasama penyedia saringan kesihatan BP Healthcare adalah pantas, mampu milik dan selesa memandangkan pengambilan sampel boleh dilakukan mengikut keselesaan dan keselamatan seseorang sama ada di rumah atau tempat kerja.

Menurut MYEG, pelanggan boleh melayari portal dalam talian www.myeg.com.my untuk membuat tempahan pengambilan sampel di rumah atau tempat kerja mereka oleh kakitangan MYEG yang diberi kebenaran untuk menggunakan kit ujian tersebut.

“Sampel akan diproses di rangkaian makmal BP Healthcare di mana keputusan ujian akan siap seawal hari bekerja yang berikutnya di aplikasi mudah alih MyQR oleh MYEG,” katanya.

MYEG berkata pelancaran itu akan menjadikan Malaysia sebagai negara kedua yang memperkenalkan kit itu selain Thailand dengan mempercepatkan dan meningkatkan saringan Covid-19.

MYEG turut mewujudkan inisiatif lain bagi memerangi Covid-19 termasuk memperkenalkan SafeQ, portal hotel kuarantin bagi pesakit Covid-19 berisiko rendah dan MySafeTravel, sistem pas kesihatan digital untuk pelancong.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker