Kuasa Majlis Raja-Raja terhakis kesan keputusan Mahkamah Persekutuan

Mohon raja-raja Melayu beri perhatian khusus berkenaan masalah ini

Sultan

 Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan bidang kuasa badan perundangan negeri, hari ini dipercayai secara tidak langsung mengurangkan kuasa milik Majlis Raja-Raja Melayu.

Perkara tersebut nyata membimbangkan kaum Bumiputera berikutan raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri.

Sehubungan itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya memohon, Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian khusus kepada keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, raja-raja Melayu diharap dapat menasihati pihak bertanggungjawab untuk mengadakan penambahbaikan terhadap undang-undang Syariah di peringkat negeri secepat mungkin.

“Hal ini kerana mereka adalah ketua agama yang sudah tentu akan memberi impak besar terhadap perundangan di negara kita.

“Keputusan ini secara tidak langsung mengurangkan kuasa Majlis Raja-Raja, yang mana raja adalah ketua agama di peringkat negeri,“ katanya dalam sidang media khas PEMBELA, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Kes Adib: Tak dapat perhatian kerajaan, tunggu PRU15 nanti!

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen yang diluluskan itu juga bertentangan dengan Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Seksyen 28 tidak konsisten dan tidak sah,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin menggesa, majlis-majlis agama Islam negeri membuat satu kajian terperinci dan semakan terhadap undang-undang Islam ketika ini.

Katanya, perkara itu juga perlu dilakukan dengan membuat perubahan atau ‘amendment’ bagi memastikan tiada lagi intrepretasi yang berbeza atau mengesampingkan ruang lingkup hukuman jenayah dalam Islam.

“Mereka paling ke hadapan dan bertanggungjawab untuk lihat perkara ini dan harus ambil tindakan sesegera mungkin untuk menghalang mana-mana lagi ‘challenge’ (cabaran) yang akan dibuat di masa hadapan terhadap hukum-hukum Islam,” katanya lagi.

Malah, Haji Aminuddin berkata, pihaknya turut menyarankan satu jawatankuasa yang pernah ditubuhkan Majlis Raja-Raja sebelum ini iaitu insitut hal ehwal Islam untuk mengangkat semua cadangan yang disyorkan oleh pelbagai pihak.

“Saya difahamkan puluhan pihak termasuk kami (PEMBELA) dan badan-badan bukan kerajan yang telah diminta memberi pandangan bagaimana untuk mengabsahkan agama Islam supaya tidak dicabar lagi,” katanya.

KP Imigresen, sila jawab mana 100,000 pelancong India, China?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker