Muka j4mbu, diskriminasi punc4 Alvin hilang sengat?
KUALA LUMPUR: Memiliki wajah jambu dan ‘awet muda’ dilihat satu kelebihan buat jejaka berbangsa Cina, Alvin Chong biarpun usianya kini mencecah 30 tahun.
Namun, di sebalik itu, pelakon dan penyanyi berdepan kesukaran mendapat karakter matang hingga Alvin atau nama sebenarnya, Alvin Chong Chean Wah kelihatan ‘hilang sengat’ beberapa ketika.
Hampir lima tahun selepas kemunculannya menerusi drama Suri Hati Mr Pilot, nama alvin kembali diperkatakan selepas membawakan watak Ean dalam drama yang mencetuskan fenomena, Takdir Yang Tertulis, baru-baru ini.
Nyata karakter peguam muda itu berjaya menambat hati penonton, malah lakonan Alvin juga dikatakan semakin matang dan mantap.
Namun, sejauh manakah kebenaran wajah jambu antara punca pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Dia Semanis Honey pada 2016 itu gagal mendapat karakter bagus dan mencabar, selain agak kurang muncul di kaca televisyen (TV) seperti pelakon kacak lain. Ia juga menyebabkan nama Alvin kurang menjadi sebutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini?
Penyanyi lagu Sayangku Salmah dan Tak Terganti itu berkata, dia tidak nafikan, wajah jambu dan awet muda menyebabkan ada sesetengah penerbit kurang yakin terhadapnya.
“Ada yang beranggapan saya tidak mampu membawa karakter matang dan serius. Bagaimanapun, ia bukanlah menjadi penyebab utama saya jarang muncul di kaca TV. Selain berlakon, saya juga seorang penyanyi. Ada ketikanya, saya terlalu sibuk memberikan tumpuan kerjaya nyanyian di luar negara.
“Sebelum ini, saya banyak menerima undangan menyanyi untuk festival muzik di Thailand, Vietnam dan Filipina. Kesibukan dunia nyanyian menyebabkan saya terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan.
“Namun, kini, tidak lagi disebabkan pandemik COVID-19. Saya tidak boleh ke luar negara dan pada masa sama, tiada undangan nyanyian. Jadi, saya kembali memberikan fokus kepada dunia lakonan, sejak tahun lalu,” katanya kepada BH Online.
Alvin berkata, dia berterima kasih kepada pengarah, Shahrulezad Mohameddin. Watak Ean dalam drama Takdir Yang Tertulis umpama memecahkan tembok kerjaya lakonannya.
“Pengarah handalan ini berjaya membuka mata orang lain dengan membuktikan saya boleh membawakan watak lebih serius. Jujurnya, saya hampir menolak tawaran membintangi drama Takdir Yang Tertulis.
“Ini kerana, saya dengar Shahrulezad seorang yang tegas ketika di lokasi penggambaran. Saya takut tidak tahan dengan ketegasannya.
“Selain itu, saya jadi kurang yakin dengan kemampuan sendiri. Saya bimbang menyusahkan pengarah dan pasukan produksi sekiranya gagal memberikan lakonan yang terbaik,” katanya.
Namun, katanya, apa yang berlaku pula sebaliknya. Shahrulezad tidak seperti apa yang didakwa sesetengah pihak.
“Saya beruntung kerana Shahrulezad dan pelakon lain seperti Nad Zainal dan Nazim Othman banyak membantu dan tidak lokek berkongsi ilmu lakonan. Shahruelzad sangat penyabar dan banyak membimbing saya untuk menjadikan watak Ean menonjol.
“Dakwaan sesetengah orang mengenai Shahruelzad nyata tidak benar sama sekali. Benarlah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Kita tidak boleh menghukumi seseorang tanpa mengenal secara mendalam mengenai dirinya. Saya memang terhutang budi dengan pengarah hebat ini,” katanya.
Mengulas adakah berpuas hati dengan pencapaian anda sepanjang lima tahun bergelar pelakon, Alvin berkata, setakat ini, dia berpuas hati dengan penerimaan walaupun tidak dinafikan watak diberikan agak terhad sama ada watak bangsa Cina ataupun mualaaf.
“Namun, saya bernasib baik kerana tawaran lakonan tidak putus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Saya akui, bimbang tiada tawaran lakonan, jadi saya terima apa sahaja tawaran yang datang terlebih dahulu.
“Cuma, ada ketikanya saya terlepas banyak peluang berlakon menerusi slot perdana, tetapi tidak mengapa, saya anggap tiada rezeki,” katanya.
Dijolok persoalan pernahkah berdepan dengan diskriminasi hanya disebabkan berbangsa Cina, pelakon kelahiran George Town, Pulau Pinang itu berkata, dia tidak menafikan, perkara itu pernah timbul.
“Ada syarikat produksi enggan mengambil saya membawakan watak mualaf disebabkan saya bukan beragama Islam. Namun, ada juga pengarah yang lebih terbuka dan tidak kisah melayangkan tawaran kepada saya. Ini kerana bagi mereka ia sekadar lakonan,” katanya.
Alvin berkata, nyanyian tetap menjadi keutamaannya, biarpun kini dilihat lebih menumpukan perhatian pada dunia lakonan. saya.
“Saya memberikan tumpuan pada lakonan disebabkan tiada ‘job’ membuat persembahan, selain tidak boleh merentas keluar negara.
“Dalam situasi pandemik COVID-19 belum berakhir, saya kena versatil dan tidak boleh memilih. Saya bernasib baik memiliki pekerjaan sampingan dalam lakonan.
“Jadi, inilah masanya saya memberikan sepenuh perhatian pada lakonan, selain mengasah bakat dan mendalami karakter lebih serius,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
You must be logged in to post a comment.