Bekas pesakit kanser digalak terima vaksin – Dr Hishamshah

Tiada masalah bagi bekas pesakit kanser dan orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Beliau berkata selain itu, mereka yang pernah menerima suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) bagi mencegah penyakit Tibi juga tidak mempunyai masalah untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Pejuang kanser ini kalau rawatan sudah selesai, dengan syarat rawatan terakhir tiga hingga enam bulan sebelum (dapat vaksin), mereka tiada masalah untuk menerima vaksin.

“Begitu juga golongan OKU, tiada masalah.

“Memang kami menggalakkan mereka terima vaksin kerana mereka golongan berisiko tinggi, selain orang yang menghidap diabetes, darah tinggi, sakit jantung, buah pinggang dan penyakit kronik lain,” katanya menerusi program Ruang Bicara bertajuk ‘Vaksin COVID-19 Fasa Pertama’ terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi golongan yang sedang mengambil ubat untuk merendahkan paras imuniti seperti pesakit kanser, mereka tidak dinasihatkan untuk menerima vaksin buat masa ini sehingga tamat rawatan.

Sementara itu, Dr Hishamshah menjelaskan setakat ini, tiada data jelas yang mengesahkan sesiapa yang menerima suntikan BCG sebelum ini terlindung daripada dijangkiti wabak COVID-19.

“Walaupun ada teori mengatakan ada perlindungan, tetapi dari segi data yang tepat, tiada. Kalau ada perlindungan melalui BCG dan sebagainya, ia tidak akan melindungi kita daripada COVID-19. Buktinya, ramai antara kita ada vaksinasi BCG, tetapi ramai juga yang dapat COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Warga Emas Jadi Penerima Vaksin Covid-19 Pertama Di Dunia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker