Polis Perak bongkar 24 premis bitcoin sejak Disember
19/02/2021 07:31 PM
IPOH, 19 Feb — Polis kontinjen Perak berjaya membongkar 24 premis yang dijadikan lokasi melombong bitcoin di beberapa daerah sepanjang tempoh 1 Dis tahun lepas hingga semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata 25 lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun berjaya ditangkap dalam serbuan yang dilakukan di sekitar Ipoh, Taiping, Manjung, Kampar, Perak Tengah dan Kuala Kangsar.
Beliau berkata polis turut merampas 1,554 unit mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM2.2 juta dan siasatan mendapati sindiket tersebut mengaut keuntungan hingga RM1.5 juta sebulan.
“Sindiket itu menyasarkan bangunan sunyi seterusnya membuat penyambungan haram bekalan elektrik ke bangunan yang dijadikan sebagai premis melombong bitcoin dan menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian kira-kira RM743,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mior Faridalathrash berkata kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990; Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Beliau meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada polis selain menasihati pemilik bangunan supaya mengambil tahu aktiviti dilakukan oleh penyewa premis mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
Polis serbu lapan premis ‘melombong’ Bitcoin di Seri Kembangan