KPM mesti berhenti buat keputusan berubah-ubah – Mohamad Hasan

 

Keputusan yang berubah-ubah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tempoh negara diancam Covid-19 ini turut mendapat perhatian Umno.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan secara tegas memberitahu apa yang dilakukan KPM sekarang adalah sangat menyusahkan pelajar, ibu bapa serta guru sendiri.

Kata Mohamad sikap “sela-menyela” (flip flop) KPM itu mesti dihentikan segera.

“Ia sangat menyusahkan pelajar, ibu bapa dan guru-guru. Kebanyakan ibu bapa bergolok bergadai untuk membelikan pelbagai peranti digital bagi pembelajaran (untuk anak-anak mereka) secara dalam talian.

“Semua ini sangat membebankan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod pada 2 Jan lalu Radzi dengan yakin menegaskan sesi persekolahan akan tetap berlangsung seperti jadual asal iaitu 20 Jan walaupun ketika itu kadar kes baru Covid-19 masih tinggi.

Bagaimanapun pada 16 Jan menteri yang sama mengumumkan sesi persekolahan itu ditangguhkan di seluruh negara kecuali untuk pelajar yang menduduki peperiksaan utama.

Radzi yang juga ketua penerangan Bersatu turut mengumumkan semua pelajar sekolah rendah dan menengah perlu mengikuti pembelajaran melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mulai 20 Jan ini.

 

Batal HSR: Kerajaan PN, PH sama saja, komitmen berubah-ubah, kata Khaled

 

Hantar isyarat mengelirukan

Sesi persekolahan bersemuka untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) kemudian ditamatkan pada 9 Feb.

Pelaksanaan PdPR itu menyaksikan beberapa masalah dihadapi terutama dalam kalangan pelajar atau keluarga kurang berkemampuan atau yang berada di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai liputan internet.

Sesetengah keluarga juga terpaksa bergelut untuk mendapatkan wang bagi membeli peranti yang diperlukan atau mencari wakil rakyat masing-masing untuk meminta bantuan.

Ada persatuan ibu bapa dan guru juga menggerakkan kempen mengumpul dana bagi membantu keluarga kurang berkemampuan mendapatkan peranti yang sesuai untuk anak masing-masing.

Semalam Menteri Pendidikan yang juga menteri kanan Perikatan Nasional Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan bersemuka akan bermula pada Mac ini.

 

Ibu bapa, pelajar semakin hilang keyakinan kepada KPM

Radzi Jidin

 

Untuk murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua, ia akan bermula pada 1 Mac manakala pelajar tahun lain seminggu kemudian.

Sesi untuk pelajar sekolah menengah pula akan bermula pada 4 atau 5 April.

Mohamad berkata kerajaan beberapa hari lalu ada melancarkan DidikTV sebagai salah satu cara membantu pelajar mengikuti pembelajaran di rumah.

“Semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan tentang ke mana hala tuju sebenar mod pendidikan digital KPM,” katanya.

Sepatutnya kata Mohamad KPM perlu memperkasa pembelajaran digital sementara negara berusaha pulih sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19.

“Mengambil kira segala kemungkinan dan kemampuan kita menanggani dampak wabak ini sebelum membuat keputusan membuka semula sekolah adalah sangat mustahak.

“Pendidikan anak-anak kita adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan menjadi kucar-kacir dengan keputusan secara sela menyela sebegini,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker