Gencatan politik kerajaan-pembangkang tidak akan berlaku, kata penganalisis

 © Provided by Free Malaysia Today Penganalisis politik Romzi Ationg dan Awang Azman Pawi skeptikal dengan cadangan gencatan politik antara kerajaan dengan pembangkang.

KOTA KINABALU: Penganalisis berpendapat gencatan politik antara kerajaan dan pembangkang boleh menjadi pertimbangan yang baik, namun cadangan berkenaan memerlukan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah , Romzi Ationg berkata, gencatan politik tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana ahli politk, yang menurutnya hanya berminat untuk merebut kuasa semata-mata.

“Ada kemungkinan ia diterima oleh segelintir wakil rakyat, namun tetap akan ada yang menolaknya.

“Ada juga kemungkinan ahli politik akan memanipulasi situasi berkenaan demi kepentingan masing-masing,” katanya kepada FMT.

Gencatan politik dicadangkan oleh Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau yang sebelum ini menggesa kesepakatan antara kerajaan dan pembangkang bagi membolehkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diteruskan tanpa sebarang usaha merampas kuasa.

Tangau, yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, gencatan politik adalah satu penyelesaian yang demokratik bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan sehingga 16 Jun 2023, iaitu tarikh Parlimen akan terbubar dengan sendirinya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Pawi pula percaya bahawa cadangan itu akan menerima sambutan dingin daripada parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH), yang merupakan proksi UPKO dan Warisan.

Beliau berkata, PH hanya akan bersetuju dengan gencatan politik seandainya ia memberi kesan besar kepada gabungan tersebut.

Ini katanya, termasuklah kerajaan bersetuju memberi peruntukan bagi projek pembangunan dengan nilai sama seperti yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan .

Selain itu, PH akan menolak cadangan tersebut kerana Ahli Parlimen gabungan juga memerlukan peruntukan bagi memastikan mereka dapat berkhidmat dengan baik di kawasan masing-masing,” kata beliau.

Lee Kuok Tiung, seorang penganalisis di UMS berkata, beliau tidak melihat bagaimana parti pembangkang yang kini berpecah akan bersetuju dengan cadangan yang akan memberi kesan politik mendalam.

Beliau berkata, dengan percakaran yang berlaku dalam gabungan pembangkang sekarang, kerajaan Muhyiddin dipercayai masih mempunyai sokongan di Parlimen walaupun dengan majoriti tipis.

Namun katanya, keadaan mungkin berubah jika bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad atau Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tiba-tiba memutuskan untuk mengetepikan perbezaan mereka dan kembali bersatu untuk menjatuhkan kerajaan.

Beliau berkata, seandainya mereka tidak memperoleh sokongan seperti yang didakwa untuk menumbangkan kerajaan Muhyiddin, maka adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada kebajikan rakyat bagi membantu mereka semasa pandemik kini.

Leave a Reply