Buat gencatan politik atau terima akibat pada pilihan raya

Semua ahli politik perlu melakukan ‘gencatan politik’ pada waktu ini, kata penganalisis politik.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, mereka perlu sedar kepentingan negara pada waktu ini adalah memastikan Covid-19 tidak menular lebih serius kerana ia akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi.

Menurut beliau, langkah terbaik pada waktu ini adalah pembangkang dan kerajaan bekerjasama antara satu sama lain dalam membangunkan dan ‘merawat’ negara, bukannya berebut kuasa.

“Sudah tentulah rakyat mahukan supaya tumpuan sekarang diberikan kepada dua perkara yang sangat penting pertama untuk menjaga negara daripada penularan Covid-19 yang kini gelombang ketiga, ini yang ada pada setiap masyarakat.



“Kedua, hari ini kita lihat kelembapan ekonomi dunia turut dirasai negara kita. Ramai yang hilang pendapatan dan pekerjaan. Perkara ini menjadi pemikiran bukan dalam kalangan masyarakat bandar tetapi juga luar bandar.

“Kalau boleh mereka (ahli politik) ini tidak langsung sibuk membicarakan tentang menukar kerajaan, mengatakan kerajaan hilang majoriti, cukup majoriti, mahu menarik diri daripada kerajaan dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Ahmad Martadha, langkah tegas yang boleh diambil sekiranya tiada perubahan di kalangan pemimpin politik adalah dengan amaran daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Agong boleh memanggil setiap ahli politik mengadap Baginda untuk memberi amaran, tindakan ini boleh diambil sekiranya tiada perubahan,” jelas beliau.



Mengulas lanjut, Martadha berkata, masalah negara khususnya keadaan ekonomi tidak akan pulih dalam sekelip mata sekiranya kerajaan bertukar terutama ketika waktu yang disifatkan waktu tidak sesuai.

Sehubungan itu tindakan terbaik yang boleh diambil ialah parti pembangkang dan kerajaan bekerjasama ‘merawat negara’.

Jika sebaliknya berlaku, Martadha tidak menolak kemungkinan rakyat yang sedang memerhati akan menterjemahkan kemarahan mereka menerusi peti undi pada pilihan raya kelak.

“Masyarakat kita sekarang sedikit sebanyak menterjemahkan di media sosial sudah muak, dengan perangai ahli politik.



“Bagi saya kalau diterjemahkan turun mengundi tak apa, maknanya rakyat yang kita muak dan tidak mahu mengundi lagi selepas ini bagaimana? Bagaimana kalau rakyat protes undi selepas ini? Itu bagi saya lebih serius daripada mereka turun mengundi dan tidak mengundi,” tambahnya. MG

Perlu gencatan politik segera!



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker