MyDIGITAL mampu perkasa kehidupan rakyat Malaysia – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif MyDIGITAL mampu memperkasakan setiap rakyat Malaysia daripada segi memperbaiki setiap aspek kehidupan mereka, kata perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika berucap melancarkan Majlis Pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia hari ini, beliau berkata ia merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat negara ini.

Dengan pelaksanaan inisiatif itu, Muhyiddin berkata ia memberi kelebihan kepada negara untuk menguasai teknologi digital, sekali gus menjadi kunci mengatasi batasan produktiviti dan menaik taraf ekonomi Malaysia.



“(MyDIGITAL) merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan dan lebih mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil.

“Ia juga merupakan suatu pelan hala tuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global dengan memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi mereka,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata keupayaan untuk merebut peluang yang muncul daripada teknologi dan model perniagaan inovatif, akan memainkan peranan penting dalam memacu enjin baharu pertumbuhan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MyDIGITAL merangkumi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, dan merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Jelasnya lagi, beberapa sasaran telah ditetapkan merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga tahun 2030.



“Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Pada masa yang sama, pelan ini juga menyasarkan untuk membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

“Sementara itu kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang.

“Selain itu, inisiatif-inisiatif di bawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang,” katanya lagi.



Perdana Menteri berkata inisiatif itu bakal menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan menyasarkan tahap produktiviti sektor ekonomi meningkat 30 peratus lebih tinggi berbanding hari ini menjelang tahun 2030.

MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi 3 fasa



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker