Keputusan kes hina mahkamah terhadap Mkini diketahui esok

Mahkamah Persekutuan akan memberikan penghakiman terhadap pertuduhan menghina mahkamah ke atas Malaysiakini berhubung sejumlah komen pembaca di portal berkenaan.

Selepas dua kali ditangguhkan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusannya di Istana Kehakiman pada jam 9 pagi esok.

Menurut e-mel dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, wartawan perlu mengikuti prosiding melalui siaran langsung dari Istana Kehakiman.

Sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penyebaran Covid-19, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan hanya dibenarkan berkumpul di lobi Istana Kehakiman.

Panel tujuhhakim, yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, selesai mendengar hujah mengenai kes itu tujuh bulan lalu.

Pada 13 Julai, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan kes itu yang difailkan Peguam Negara Idrus Harun terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan.

Hakim Rohana berkata panel hakim memerlukan masa untuk meneliti kes itu.

Selain Rohana, enam anggota panel hakim lain ialah Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Azahar Mohamed; Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.

Ketika perbicaraan, peguam Malaysiakini antaranya berhujah bahawa hasrat sebenar untuk menerbitkan komen yang dianggap menghina mesti dibuktikan untuk menyebabkan penghinaan, kata peguam.

Menurut Malik, dengan menunjukkan penerbitan sahaja ia tidak mengundang penghinaan.

“Ini mesti disiarkan secara sengaja, mesti ada niat untuk menerbitkan bahan skandal itu.

“Kemudahan semata-mata (dengan menyediakan bahagian komen) untuk menghantar komen tidak cukup untuk menarik tanggungjawab undang-undang,” katanya.

Ia katanya, akan memberi kesan buruk dari segi pelaksanaan kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, peguam kanan persekutuan S Narkunavathy, yang mewakili peguam negara, berpendapat tidak ada syarat dalam undang-undang untuk menunjukkan bahawa Malaysiakini mempunyai niat untuk menerbitkan komen yang menghina mahkamah.

“Mereka menyediakan platform, mereka membenarkannya (diterbitkan),” kata Narkunavathy.

Peguam Negara Idrus Harun memulakan prosiding menghina mahkamah pada bulan Jun atas komen lima pembaca dalam laporan berita Malaysiakini, yang kemudian dipadamkan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak tidak membuat sebarang komen mengenai perkara tersebut – yang telah menarik perhatian pelbagai organisasi, baik di Malaysia dan di luar negara.

Selain Malik, Malaysiakini dan Gan diwakili oleh Surendra dan Khoo Suk Chyi, sementara Idrus diwakili oleh peguam kanan persekutuan Narkunavathy dan Suzana Atan.

Antara organisasi yang menjadi pemerhati perbicaraan itu ialah Majlis Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Sekiranya Malaysiakini dan Gan didapati menghina mahkamah, hukuman boleh dijatuhi pada hari yang sama.

Tidak ada had hukuman dalam peruntukan undang-undang bagi kesalahan menghina mahkamah. Justeru Malaysiakini kemungkinan boleh didenda atau Gan dijatuhi hukuman penjara.

Ini adalah kali pertama Malaysiakini didakwa menghina mahkamah sejak penubuhannya 21 tahun lalu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker