22 tahun dalam Umno, adakah Mahathir juga ‘warlord’? Rahman Dahlan persoal Daim

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan kenyataan veteran politik Daim Zainuddin bahawa Umno tidak mampu menarik sokongan majoriti rakyat kerana ia sarat dengan ‘warlord’ atau panglima perang yang beranggapan masih menerajui negara.

Abdul Rahman berkata, Daim perlu memberikan nama pemimpin Umno yang dimaksudkan secara spesifik, dan beliau juga mahu tahu bagaimana Daim melihat Dr Mahathir Mohamad yang memegang jawatan presiden Umno selama 22 tahun sebelum meletakkan jawatan dan akhirnya menubuhkan PPBM.

“Semua parti ada ‘warlord’ dalam Malaysia dan bukan sahaja terhad kepada Umno. Persoalannya, Umno akan ada pemilihan parti tahun ini dan saya rasa ia memberi peluang kepada ahli parti untuk memilih pucuk pimpinan, bukan sahaja di peringkat tertinggi, tetapi juga di peringkat bahagian.



“Apa yang penting adalah memberi ruang kepada perwakilan parti untuk memilih pemimpin tanpa gangguan. Jika orang yang sama tetapi dia dipilih ini bermakna orang itu adalah orang yang diminati. Contohnya Dr Mahathir, dia dahulu dipilih selama 22 tahun, adakah dia ‘warlord’,” kata Abdul Rahman kepada FMT.

Kata Abdul Rahman lagi, tuduhan Daim yang Umno tidak mendapat sokongan oleh rakyat hanya boleh dibuktikan apabila pilihan raya umum ke-15 diadakan. Baginya, ketika ini tidak ada suatu formula khusus atau data tepat yang menunjukkan Umno tidak menerima sokongan rakyat.

“Itu pandangan beliau. Kami semua ada pandangan masing-masing. Soal hubungan Umno-PPBM, bagi saya ia adalah hubungan yang kompleks kerana kedua-dua parti ini bertarung untuk kawasan yang sama. Jadi, apa yang saya nampak ada pro dan kontra jika Umno masih meneruskan kerjasama dengan PPBM,” katanya.

Daim dalam wawancara dengan FMT menyifatkan Umno sebagai tidak lagi mampu menarik sokongan majoriti rakyat kerana sarat dengan “warlord” (panglima perang) yang beranggapan mereka masih menerajui negara.



Malah, menurut Daim, ramai pemimpin Umno “tidak belajar dari sejarah” dan gagal menawarkan sebarang kepimpinan bermakna untuk kebaikan rakyat tetapi masih bertindak seolah-olah “warlord” yang menguruskan negara.-FMT

Daim di belakang kempen sekat Anwar, kata pemimpin PKR (video)



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker