Harga minyak cecah paras tertinggi 13 bulan
NEW YORK: Harga minyak mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh 13 bulan berikutan cuaca sejuk di Texas mungkin akan mengehadkan bekalan dari pengeluaran syal terbesar di Amerika Syarikat (AS).
Kontrak hadapan minyak AS, West Texas Intermediate meningkat sebanyak 2.2 peratus pada awal dagangan di Asia, meningkat lebih AS$60 setong untuk buat pertama kali dalam tempoh lebih setahun.
Minyak mentah Brent di London rali melepasi AS$63.
Peniaga menjangkakan pengeluaran beberapa ratus ribu tong sehari di Texas mungkin terkesan oleh penutupan, gangguan pengangkutan jalan raya dan gangguan bekalan elektrik, mengekang bekalan Amerika sebaik saja pasaran global dilihat kembali seimbang.
Cuaca sejuk yang melanda pusat AS itu mungkin akan mengancam eksport dari salah satu negara pengeluar utama dunia di tengah-tengah normalisasi pantas stok simpanan global yang menunjukkan kejayaan OPEC+ dalam menguruskan lebihan bekalan ketika wabak melanda.
[VIDEO] Ngeri, 6 maut dalam nahas jalan raya libat lebih 130 kenderaan di Texas
Permintaan minyak Amerika juga mungkin akhirnya akan meningkat sejajar dengan Asia, yang mana penggunaan bahan bakar adalah yang pertama akan meningkat, dengan kilang yang memproses minyak mentah paling banyak sejak Mac dengan jangkaan rangsangan daripada vaksin dalam penggunaan petrol pada musim panas.
WTI meningkat sekitar 16 peratus sejak awal bulan ini dan Brent mencatatkan peningkatan selama empat minggu berturut-turut kerana lebih banyak vaksin COVID-19 telah diluluskan dan dilancarkan di seluruh dunia.
Sementara itu, usaha Arab Saudi untuk mengurangkan lagi pengeluaran membantu mengecilkan inventori di negara seperti AS dan China di tengah pemulihan permintaan.
Pasaran kini seimbang, kata Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak di televisyen negara itu, demikian mengikut Interfax.
“Harga yang kita lihat hari ini tentunya sesuai dengan situasi di pasaran,” katanya.
“Cuaca sejuk, pengurangan tambahan Arab Saudi, janji pakej rangsangan AS yang baharu semuanya membantu,” kata Vandana Hari, Pengasas Vanda Insights yang berpangkalan di Singapura, Vandana Hari.
“Bagaimanapun, faktor tunggal terbesar – satu daripada keraguan yang mungkin terlepas pandang atau tidak percaya – adalah bahawa COVID di peringkat global sedang mengundur, selama lebih empat minggu sekarang,” katanya.
-Bloomberg