[Video] Amerika Utara boleh musnah dengan ‘Dron Nuklear’ milik Russia

MOSCOW: Russia bersedia untuk menguji dron nuklearnya yang dikatakan mempunyai kekuatan untuk menghancurkan benua Amerika Utara.

Akhbar The Sun, yang memetik laporan akhbar Russia Izvestia, melaporkan persediaan menguji dron dalam air dinamakan Poseidon yang akan dibawa oleh kapal selam Belgorod itu sedang berjalan.

Difahamkan, Russia akan memiliki kira-kira 30 dron nuklear Poseidon menjelang 2027, yang boleh dilengkapi dengan senjata konvensional atau nuklear.

Dron itu juga boleh digunakan untuk memusnahkan pelbagai jenis sasaran dan berjaya dilancarkan dari kapal selam berkuasa diesel sebelum ini.

Presiden Russia, Vladimir Putin, mendedahkan maklumat mengenai dron nuklear itu pada 2015, ketika Poseidon dikenali sebagai Sistem Lautan Pelbagai Fungsi Status-6.

Dron itu boleh bergerak pada kelajuan mencecah 85 kilometer sejam (km/j) di dalam air dan mampu mencapai sasaran sejauh 10,000 kilometer.

Menurut media Russia, ia juga berupaya membawa peledak peluru nuklear dengan kuasa letupan 100 megaton.

Tahun lalu, seorang pegawai tentera laut, Kapten Konstantin Sivkov, berkata Poseidon mampu menyebabkan gempa bumi dan menghancurkan benua Amerika Utara.

Sebagai perbandingan, bom atom yang digugurkan di Hiroshima mempunyai kekuatan sekitar 15 kiloton dan kekuatan 100 megaton adalah bersamaan 100,000 kiloton. – AGENSI

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker