6 lelaki Bangladesh jalankan perniagaan ayam ditahan imigresen

 Gambar Hiasan

ALOR SETAR: Kegiatan warga asing yang membuka kedai runcit basah dan menjalankan perniagaan menyimpan, menyembelih dan menjual ayam di sebuah rumah kedai dua tingkat terbongkar dengan penahanan enam lelaki warga Bangladesh di Amanjaya, Sungai Petani, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Zuhair Jamaludin berkata, dalam Op Sapu bermula 5 petang hingga 11 malam itu, seramai 17 pegawai dan anggota imigresen menjalankan pemeriksaan di sembilan lokasi berasingan di sekitar Sungai Petani.

“Pemeriksaan di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Teratai, Amanjaya mendapati warga asing yang menyewa premis berkenaan daripada seorang warga tempatan membuka kedai runcit basah yang menjual ayam, ikan dan sayur-sayuran.

“Mereka juga menjadikan premis berkenaan sebagai tempat untuk menyimpan ayam hidup sebelum proses menyembelih dan menjual. Semasa serbuan, semua warga asing yang berumur antara 22 hingga 35 tahun itu sedang menjalankan tugas masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Zuhair berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemilik premis dan pemilik lesen perniagaan yang menyewa dan membenarkan warga asing berkenaan menjalankan perniagaan di rumah kedai itu.

Beliau berkata, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Semua mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Alor Setar untuk saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker