Pergelutan niat kebaikan dalam jiwa manusia
Semakin lalai seseorang, makin sedikitlah niat kebaikan yang ‘hadir’
SEORANG mukmin sepanjang hidupnya pasti memiliki tarikan-tarikan keimanan yang ingin membawa dirinya kepada Allah S.W.T.
Pada masa yang sama, tarikan ke arah kajahatan juga wujud, sentiasa bertubi-tubi mengajak dirinya meninggalkan tarikan kebaikan yang pertama.
Keadaan ini membentuk sebuah pergelutan di dalam jiwanya. Pergelutan sama ada ingin memilih tarikan keimanan daripada ruh di dalam hatinya ataupun tarikan nafsu syahwat kesyaitanan yang ingin melepaskan dirinya daripada tarikan keimanan.
Tarikan keimanan pertama yang akan hadir adalah niat ingin melakukan kebaikan.
Sebagai contoh, apabila seseorang terlintas difikiran ingin melakukan kebaikan, tiba-tiba terfikir “Kesiannya rakyat di Pelastin”, “Ya Allah, rindunya pada ibuku”, “Aku ingin berdakwahlah”, “Rasa lama tak baca Quran” dan lain-lain.
Ketahuilah, bahawa tatkala niat tersebut hadir, seorang insan telah berjaya di dalam pergelutan yang pertama!
Pergelutan pertama di dalam niat adalah untuk keluar daripada keadaan dirinya daripada kelalaian kepada Allah S.W.T. Seorang yang lalai melakukan perkara haram, pasti tidak mendapat hidayah sehinggalah dia meninggalkan perkara haram tersebut.
Dan dalam banyak keadaan, seorang yang lalai tenggelam dalam perkara harus, juga sukar untuk mendapat lintasan hidayah dalam bentuk niat-niat yang soleh. Sebagai contoh, ketika seorang yang sibuk bermain ‘game’ atau sedang ‘shopping’ di dalam telefon pintar, adakah ketika itu akan timbul perasaan rindu kepada Allah? Atau akan terfikir untuk infak kepada Palestin? Atau akan terfikir berkaitan tenatnya umat Islam?
Hanya apabila kita meninggalkan kelalaian tersebut, niat-niat kebaikan akan hadir mencurah-curah di dalam sanubari. Semakin lalai seseorang semakin sedikitlah niat kebaikan, semakin kurangnya perkara harus (apatah lagi haram dan makruh), maka banyaklah niat-niat kebaikan yang akan hadir!
Pergelutan kedua adalah menyambut niat tersebut dan membina keinginan yang kuat (himmah Aaliyah).
Niat yang hadir belum tentu akan dilaksanakan, malah kebanyakan niat yang mencurah-curah banyak tersebut ditinggalkan di dalam bentuk angan-angan kosong yang tidak akan dilaksanakan sehinggalah kematian datang menghadap.
Bukankah niat baik perlu disuburkan menjadi himmah aaliyah (keinginan yang kuat) sehingga andai kita tidak laksanakan niat tersebut hidup menjadi resah dan kecewa atas kekurangan diri. Berapa banyak niat yang terkubur hanya kerana kita tiada kekuatan tekad padanya?
Jika dihitung terlalu banyak, maka bukanlah isu kita sekadar kelalaian yang menghalang niat baik, tetapi niat baik yang gagal dihidupkan menjadi sebuah tekad! Maka timbul persoalan bagaimana unuk menyuburkan sebuah tekad? Persoalan ini akan dijawab pada artikel seterusnya, insyaAllah.
Sebagai kesimpulan, ketahuilah bahawa seorang insan sentiasa di dalam keadaan pergolakan jiwa di antara tarikan keimanan kepada Allah yang hadir daripada ruh yang sejahtera dan akal yang lurus, namun di satu sudut berhadapan tarikan nafsu yang menghinakan dan syaitan yang membisik.
Dua keadaan ini membentuk pergelutan di dalam jiwa manusia. Pergelutan ini menuntut kita memahami teknik-teknik dan selok-belok berhadapan pergelutan ini.
Maka pergelutan di dalam niat baik, iaitu hidayah terhalus daripada Ilahi adalah pergelutan berhadapan kelalaian di dalam perkara harus, dan pergelutan menukarkannya kepada tekad/himmah aaliyah.
Benarlah firman Allah S.W.T an-Nahl ayat 108:
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala (ditutup/terhijab daripada cahaya hidayah) hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.
Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS)