Skuad ‘menggerunkan’ dari JDT

KUALA LUMPUR: Trofi kejuaraan Liga Super tampak akan terus kekal di bumi Johor buat tahun kelapan berturut-turut.

Itu bayangan yang boleh diberikan selepas Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan senarai barisan ‘menggerunkan’ yang dimiliki skuad Harimau Selatan, hari ini.

Apa tidaknya, daripada senarai yang diumumkan itu, hampir keseluruhan pemain berstatus kebangsaan berada dalam skuad JDT, sekali gus mencetuskan rasa ‘gerun’ pesaing mereka dalam Liga Malaysia (Liga M).

Mengekalkan ramai muka lama yang berkualiti, kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dan penyerang import termahal Liga M, Jonathan Herrera boleh dianggap JDT memiliki skuad serba lengkap.

 

Selain itu, kepulangan perancang tengah berpengalaman Safiq Rahim dan pemain sayap Safawi Rasid serta penyertaan bintang muda, Danial Amier Norhisham menambahkan lagi pilihan buat pengendalinya, Benjamin Mora membentuk skuad ‘juara’.

Sekiranya gandingan di setiap posisi menjadi, tidak mustahil sasaran pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk melihat skuad Harimau Selatan melepasi peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) boleh menjadi kenyataan.

Rata-rata peminat, bukan sahaja penyokong JDT turut ‘terpegun’ melihat barisan mantap yang dimiliki juara bertahan Liga Super tujuh kali berturut-turut itu.

Walaupun mendapat pelbagai pujian dan reaksi positif, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagaimanapun tetap merendah diri mengenai skuad yang bakal ditampilkan JDT musim ini.

Menerusi satu komen yang ditinggalkan TMJ di laman Instagram rasmi kelab, officialjohor, beliau menulis: “Takda lah apa-apa sangat. Boleh lah…”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker