Bursa Malaysia ditutup tinggi menjelang cuti Tahun Baru Cina

 

KUALA LUMPUR: Indeks utama pasaran saham tempatan mengakhiri sesi urus niaga Khamis lebih tinggi menjelang cuti sambutan Tahun Baru Cina.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.57 mata kepada 1,559.42 selepas bergerak antara 1,594.52 dan 1,602.50 sepanjang sesi pagi.

Indeks utama pagi ini dibuka 5.34 mata lebih tinggi pada 1,602.19 berbanding 1,596.85 ketika ditutup pada petang Rabu.

Pergerakan harga di pasaran bertukar kepada positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 574 berbalas 383 manakala 451 kaunter tidak berubah, 740 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 3.21 bilion unit bernilai RM2.05 bilion.

Di dalam negara, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyaksikan penguncupan 5.6 peratus, agak menyimpang daripada julat unjuran Kementerian Kewangan iaitu penurunan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus.

“Bagaimanapun, kesan penurunan yang sedikit lebih besar daripada jangkaan dikekang oleh peningkatan beberapa saham mewah terpilih seperti Tenaga yang meningkat lebih daripada tiga peratus berikutan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya,” kata beliau kepada Bernama.

Adam seterusnya menambah, sektor lain yang menyokong bursa tempatan adalah sektor perbankan, yang membabitkan saham seperti Public Bank dan Hong Leong Bank, di tengah jangkaan pemulihan ekonomi tahun ini yang akan meningkatkan permintaan pembiayaan dan memacu kepada penurunan rosot nilai.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga naik 31 sen pada RM10.06, Axiata meningkat enam sen kepada RM3.43, HLBank menambah 18 sen kepada RM18.40 dan PBBank dua sen lebih tinggi pada RM4.24.

Kaunter aktif yang lain, DNeX meningkat sembilan sen pada 43 sen dan warannya menokok dua sen kepada 6.5 sen, SAPNRG lebih tinggi setengah sen kepada 13 sen sementara Trive turun setengah sen kepada 19 sen

Kaunter paling untung pula, MPI melonjak RM2.32 kepada RM38.60, UWC 84 sen lebih tinggi kepada RM13.48, Tasco memperoleh 43 sen pada RM5.68 dan BAT 40 sen lebih tinggi pada 13.56.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 43.28 mata kepada 11,661.82 dan Indeks FBMT 100 menokok 34.82 mata pada 11,380.04.

Indeks FBM Emas Syariah menambah 67.29 mata kepada 13,120.25, FBM 70 melonjak 110.50 mata kepada 15,271.65 dan FBM ACE naik 135.28 mata kepada 10,883.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 16.66 mata kepada 15,038.47, Indeks Perladangan turun 38.50 mata kepada 7,145.69 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.24 mata kepada 180.57.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 3.20 bilion saham bernilai RM2.05 bilion daripada 3.21 bilion saham bernilai RM2.97 bilion yang dicatatkan pada penutup Rabu.

Jumlah dagangan waran lebih rendah pada 184.1 juta unit bernilai RM30.39 juta daripada 321.3 juta unit bernilai RM53.76 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 787.86 juta saham bernilai RM359.05 juta daripada 1.31 bilion saham bernilai RM592.24 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 261.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (427.03 juta), pembinaan (62.33 juta), teknologi (793.15 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (75.48 juta), hartanah (125.49 juta), perladangan (34.36 juta), REIT (4.36 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (347.98 juta), penjagaan kesihatan (22.31 juta), telekomunikasi dan media (23.94 juta), pengangkutan dan logistik (44.71 juta) dan utiliti (15.14 juta).

Sementara itu, Bursa Malaysia telah mengumumkan urus niaga separuh hari pada Khamis dan ditutup sepenuhnya pada Jumaat sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Bursa Malaysia dan semua anak syarikatnya akan beroperasi semula pada 15 Februari. -BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker