Pelancaran Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dan Peraduan Dalam Talian

Pelancaran Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ Dorong Orang Ramai Hargai Peranan Minyak Sawit Dalam Pertumbuhan Sosioekonomi Mampan Dan Menyeluruh

Putrajaya, 10 Februari 2021 – Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ telah dilancarkan secara rasmi untuk meningkatkan sokongan terhadap minyak sawit dan lebih penting lagi,  mendorong orang ramai menghargai peranan dan sumbangan penting komoditi ini dalam membantu pertumbuhan sosioekonomi yang mampan dan menyeluruh.

Selaras dengan norma baru yang telah ditetapkan, kempen tersebut telah dilancarkan secara maya oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dan disiarkan langsung di halaman Facebook Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Dalam majlis maya ini, satu laman sesawang khas, www.sawit.com.my dan peraduan dalam talian telah dilancarkan untuk orang ramai mendapatkan maklumat lanjut tentang khasiat minyak sawit serta peranan dan sumbangannya kepada pertumbuhan sosioekonomi.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, “Minyak sawit sememangnya satu anugerah Tuhan kepada kita. Bermula dengan penanaman komersial yang pertama pada 1917 di Estet Tennamaram di Selangor, sawit memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negara. Industri minyak sawit Malaysia pada hari ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada penduduk malah merupakan satu sumber utama penyumbang pendapatan negara.”



Minyak sawit mempunyai fungsi sosial dan ekonomi yang penting termasuk menjana pendapatan melalui tukaran mata wang asing, menyediakan pekerjaan dalam pelbagai bidang dan menjadi sumber bahan mentah utama bagi pengeluaran barangan makanan dan bukan makanan. Kesemua ini penting untuk menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Di peringkat global, minyak sawit berperanan penting menjamin bekalan minyak sayuran dan lelemak yang berterusan dan mampan.

Pada hari ini, Malaysia adalah negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia. Pada tahun lepas, Malaysia menyumbang sebanyak 26% kepada jumlah pengeluaran dan 34% kepada jumlah eksport minyak sawit dunia. Dato’ Dr Khairuddin menekankan bahawa industri minyak sawit sangat penting untuk negara-negara yang  membangun seperti Malaysia. Pada 2020, minyak sawit dan produk-produknya yang berkaitan menyumbang kira-kira RM72.8 bilion kepada KDNK negara, iaitu peningkatan sebanyak 14.2% berbanding yang direkodkan pada 2019 dan paling tinggi sejak 2017 (RM77.9 bilion).

Di samping itu, minyak sawit juga memainkan peranan besar dalam meningkatkan taraf hidup  para pekebun kecil dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan dalam rantaian bekalan dan ekosistem produk-produk hilirannya. Dianggarkan pada hari ini 3 – 4 juta rakyat Malaysia bergantung kepada industri sawit sebagai punca pendapatan utama. Menariknya, minyak sawit juga berperanan dalam memerangi virus COVID-19.

“Minyak sawit merupakan bahan mentah utama dalam pembuatan sabun dan produk pensanitasi tangan. Kedua-dua produk ini bertindak sebagai benteng pertahanan pertama  serangan virus COVID-19. Secara tidak langsung, penggunaan produk-produk bukan makanan berasaskan minyak sawit telah membuka satu peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan dalam bidang farmaseutikal pada waktu dan ketika yang mencabar ini,” tambah Khairuddin.



“Menyedari peranan dan sumbangan penting minyak sawit, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang telah dilancarkan secara tidak rasmi pada 19 November 2020 yang lalu. Kempen ini bertujuan membina kesedaran dan menyemai rasa bangga dan penghargaan di kalangan rakyat tempatan terhadap sumbangan besar minyak sawit kepada negara,” kata Khairuddin.

Walaupun minyak sawit terbukti sangat bermanfaat, industri minyak sawit tetap berdepan dengan kritikan hebat daripada pihak-pihak tertentu yang mengaitkan penanaman sawit sebagai punca utama kemusnahan hutan hujan dan  hidupan liar di negara-negara pengeluar. Salah satu punca kritikan ini ialah kurangnya kesedaran tentang minyak sawit dan tanamannya serta sikap tidak endah.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengikuti kempen ini bagi meningkatkan kefahaman mereka dan mendapatkan maklumat yang tepat tentang minyak sawit Malaysia. “Melalui kempen ini, mereka boleh menjadi duta sambilan bagi komoditi pertanian utama negara  kita dengan membantu menyebarkan maklumat tepat tentang sawit kepada masyarakat,” rumus YB Dato’ Dr Khairuddin.

Pelbagai aktiviti  promosi sehingga ke akhir tahun 2021 bakal dilakukan di dalam Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ ini untuk meningkatkan penghargaan umum terhadap pelbagai manfaat minyak sawit Malaysia.  Ini termasuklah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan, penyebaran maklumat am secara visual dan aktiviti di media sosial.



Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dan peraduan dalam talian, sila layari laman sesawang, www.sawit.com.my

 

MENGENAI MAJLIS MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOC)



MPOC ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.  Ditubuhkan pada 1990, MPOC berperanan meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia dan produk-produknya. Usaha ini dilaksanakan dengan menambah baik imej dan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia menerusi program kesedaran tentang pelbagai kelebihan tekno-ekonomi dan kelestarian komoditi ini.

MPOC telah menubuhkan rangkaian sepuluh pejabat di seluruh dunia iaitu di China (Shanghai), India (Mumbai), Pakistan (Lahore), Bangladesh (Dhaka), rantau Timur Tengah (Istanbul dan Kaherah), Eropah (Brussels dan Moscow), Afrika Selatan (Johannesburg) dan Amerika (Washington, D.C.), untuk mempromosi minyak sawit Malaysia dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.

Industri minyak sawit Malaysia merupakan salah satu tunggak utama ekonomi negara. Pada 2020, industri ini menyumbang sejumlah RM72.8 bilion kepada pendapatan eksport negara dan masing-masing 26% dan 34% kepada jumlah pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai MPOC dan minyak sawit Malaysia, sila layari www.mpoc.org.my



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker