Kisah Suka Duka ‘Rider’ Wanita

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak setahun lalu menyaksikan pelbagai sektor terjejas hingga mengakibatkan ramai kehilangan punca pendapatan sekali gus berlaku penguncupan peluang pekerjaan.

Disebabkan itu, golongan terjejas mencari alternatif dengan beralih arah bagi menjana pendapatan termasuk sebagai penghantar bermotosikal yang kebanyakannya dipelopori lelaki, tetapi kini turut diceburi ramai wanita berikutan permintaan tinggi perkhidmatan itu.

Ikuti suka duka dialami empat wanita ini dalam mengharungi asam garam sebagai penghantar bermotosikal demi kelangsungan hidup.

KISAH 1

Biarpun usianya sudah mencecah 51 tahun, namun kegigihannya dalam mencari punca pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada tujuh anaknya wajar dikagumi.

Bagi ibu tunggal Faizah Mohamad Nan dari Gombak yang sudahpun memiliki 13 cucu, pilihan menjadi penghantar makanan bermotosikal bukanlah kerjaya yang mudah.

Faizah berkata, sama seperti penghantar lain, dia juga tidak terlepas daripada cabaran berpanas dan meredah hujan di jalanan demi menggalas tanggungjawab yang diamanahkan pelanggannya.

Menurutnya, hampir 10 tahun bergelar ibu tunggal selepas kematian suami pada September 2011 cukup mematangkannya dan sudah biasa bersusah-payah dengan melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga.

“Selepas pemergian suami, saya mengambil alih kerjayanya sebagai pemandu van sekolah yang pada awalnya bermula dengan kereta. Van sekolah itu dibeli pada 2013 melalui pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sambil-sambil ada masa terluang, saya juga membuat kuih bahulu dan ambil upah cuci rumah sebagai pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Jasa, Batu Caves, di sini.

 

FAIZAH gigih mencari rezeki sebagai penghantar makanan kerana tidak mahu menyusahkan anaknya. FOTO Eizairi Shamsudin
FAIZAH gigih mencari rezeki sebagai penghantar makanan kerana tidak mahu menyusahkan anaknya. FOTO Eizairi Shamsudin

 

Katanya, dia baru saja menukar kerjaya daripada pemandu van sekolah kepada penghantar makanan bermotosikal dengan Remp-itz pada November lalu.

“Saya tiada pendapatan bulanan sejak penutupan sekolah lalu mengambil keputusan untuk berhenti memandu van sekolah lalu memilih menjadi ‘rider’ untuk ada duit poket sendiri.

“Kerja ‘rider’ ini santai dan tiada tekanan sambil saya turut menjaga lapan cucu di rumah. Jika ada pesanan masuk, saya keluar, jika tidak, saya duduk di rumah berehat,” katanya.

Katanya, walaupun menempuh pelbagai cabaran sehingga menunggang motosikal sejauh lebih 100 kilometer sehari, namun kerjaya itu turut membawa manfaat kepada dirinya.

“Sejak menjadi ‘rider’, saya lebih aktif dan yakin apabila keluar rumah. Malah, kenalan juga bertambah dan setiap kali bertugas pasti rasa seronok,” katanya yang mampu memperoleh pendapatan mencecah RM250 seminggu.

KISAH 2

Memiliki pakej lengkap wajah cantik manis, namun wanita muda ini tidak malu memilih kerjaya lasak sebagai penghantar makanan bermotosikal yang lazimnya dimonopoli kaum lelaki.

Farah Nur Syifa Abdullah, 21, berkata dia selesa melakukan pekerjaan itu di sekitar Ipoh, Perak sejak setahun lalu bagi berdikari mencari wang saku sendiri.

“Saya tak kisah apa orang hendak kata atau pandang rendah. Bagi saya apa yang saya buat ini demi mencari rezeki halal dengan niat mahu meringankan beban keluarga.

“Selain mudah mengurus masa sendiri, pekerjaan ini amat sesuai dengan jiwa saya apatah lagi saya sudah biasa dengan dunia motosikal sejak usia 13 tahun lagi selain pernah ada pengalaman bekerja di bengkel,” katanya.

Menurutnya, sudah menjadi asam garam apabila turut menjadi bahan usikan nakal pelanggan lelaki yang menggunakan khidmat penghantaran makanan daripadanya.

 

FARAH Nur Syifa ceburi penghantaran makanan kerana minat kerja menggunakan motosikal. FOTO Ihsan Farah Nur Syifa
FARAH Nur Syifa ceburi penghantaran makanan kerana minat kerja menggunakan motosikal. FOTO Ihsan Farah Nur Syifa

 

“Kalau kena mengurat dan pujian pelanggan lelaki nakal itu memang sudah biasa. Biasanya saya buat tak tahu saja dan teruskan kerja macam biasa dengan profesional.

“Saya tak akan layan kerana fokus saya dan niat hendak cari rezeki untuk menyara hidup,” katanya.

Selain itu, katanya, cabaran lain perlu dilaluinya ialah menitikberatkan aspek keselamatan terutama menunggang pada waktu hujan dan di tempat sunyi pada malam hari.

“Kalau hujan kita tahu jalan basah, jadi saya akan pastikan menunggang motosikal dengan perlahan saja. Kalau tahu tempat dituju itu gelap atau sunyi biasanya saya akan ajak rakan penunggang lain yang ada kelapangan menemani.

“Dari segi layanan sama ada penghantar lelaki mahupun wanita sama saja. Alhamdulillah, setakat ini saya mendapat pelanggan yang baik hati dan kerap diberikan tips terutama apabila hujan,” katanya.

 

Demi menyara diri dan anak tunggal kesayangan, ibu tunggal ini gigih mencari rezeki dengan mencuba nasib sebagai ‘runner’ bermotosikal di sekitar Endau, Mersing, Johor.

Menurut Nurfatihah Abdullah, 23, pekerjaan itu memudahkannya untuk mengurus masa sambil membesarkan anak lelakinya berusia 20 bulan selain bergilir-gilir dengan adik-beradiknya menjaga ibu mereka.

“Selepas berpisah dengan suami penghujung September 2019, saya bekerja sebagai pembantu warung roti canai di Endau selama lima bulan saja kerana perlu menjaga ibu yang menghidap barah payu dara.

“Kemudian, saya mencuba nasib menjual produk krim kecantikan dalam talian, namun tidak boleh menjadi menyebabkan saya mula menjadi runner pada Ogos tahun lalu,” katanya.

Katanya, permulaan bekerja dalam bidang itu tidak semudah disangka apabila sukar mendapat pelanggan dalam tempoh tiga bulan.

“Memang perit hendak dapat pelanggan, pendapatan saya pada masa itu tidak menentu kadang kala cuma dapat RM20 saja dalam beberapa hari.

“Pada Disember tahun lalu, saya mengiklankan sendiri khidmat seperti pembayaran bil utiliti, pengeposan serta pembelian makanan dan barangan basah di akaun Facebook milik saya, Kakak Combi.

“Alhamdulillah, strategi itu menjadi apabila pelanggan mula mencari dan pendapatan sehari boleh mencecah sehingga RM50 sehari dari jam 9 pagi hingga 6 petang,” katanya.

 

NURFATIHAH menyediakan khidmat runner bagi menyara anaknya. FOTO Ihsan Nurfatihah Abdullah
NURFATIHAH menyediakan khidmat runner bagi menyara anaknya. FOTO Ihsan Nurfatihah Abdullah

 

Katanya, walaupun menyedari cabaran dalam pekerjaan itu, namun dia menguatkan semangat untuk bertahan kerana memikirkan tanggungjawab digalasnya lebih berat dalam memastikan anaknya membesar.

“Pada mulanya ibu melarang kerana risaukan keselamatan terutama pada waktu malam, namun akhirnya dia merestui saya.

“Setakat berpanas dan hujan selain kena maki hamun dengan pelanggan kerana lewat itu pun sudah menjadi asam garam kerja. Paling tidak boleh dilupakan apabila saya pernah mengheret motosikal sejauh 10 kilometer kerana rantai putus,” katanya.

Katanya, semua cabaran itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya dia semakin cekal untuk terus bekerja dalam bidang berkenaan.

“Walaupun banyak cabaran, namun saya rasa seronok bekerja dengan cara ini sambil membesarkan anak dan berbakti kepada ibu,” katanya.

KISAH 4

Pendapatan suami sebagai tukang rumah yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19 menyebabkan ibu dua anak ini nekad menjadi penghantar makanan bersama Remp-itz.

Mengakui pada mulanya sukar membiasakan diri ketika menunggang motosikal di jalan raya yang sesak dipenuhi kenderaan, namun Siti Farahanim Safari, 29, sanggup berkorban demi menambah pendapatan keluarga dan masa depan keluarga terutama anak-anaknya.

Siti Farahanim berkata, dia pernah menangis ketika menunggang motosikal kerana terlalu penat apabila pesanan pelanggan terlalu banyak.

Malah, lebih menyedihkan, ada segelintir pihak juga pernah menuduhnya tidak memikirkan keselamatan anaknya, Siti Nur Ummairrah Azizul yang berusia sembilan bulan apabila didakwa membawanya bersama ketika menghantar pesanan pelanggan.

“Sebenarnya, anak bongsunya itu dihantar ke rumah pengasuh yang terletak kurang tiga kilometer dari rumah. Sebelum keluar mencari rezeki, saya terlebih dulu menghantarnya ke rumah pengasuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Masin, Batang Kali.

 

SITI Farah Hanim membawa anaknya, Siti Nur Ummairrah menaiki motor ke rumah pengasuh sebelum memulakan tugasan sebagai penghantar makanan dan barangan di sekitar Batang Kali. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
SITI Farah Hanim membawa anaknya, Siti Nur Ummairrah menaiki motor ke rumah pengasuh sebelum memulakan tugasan sebagai penghantar makanan dan barangan di sekitar Batang Kali. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

 

Menurutnya, sebelum ini dia berniaga di depan rumah sambil menjaga anak-anaknya, namun kurang pelanggan sejak Covid-19 melanda.

Katanya, dia bersyukur apabila mampu memperoleh pendapatan RM300 seminggu sejak menceburi kerjaya sebagai runner sejak September lalu.

“Saya tidak bekerja setiap hari dan cuma keluar jika ada pesanan pelanggan masuk. Kerjaya ini walaupun penat tapi saya tetap ada masa menguruskan anak-anak dan masih boleh memikul tugas suri rumah seperti dulu,” katanya-HM

Penghantar makanan, pelanggan harap kedai makan buka sampai 10 malam

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker