PRU15: Gabungan PN, BN dan Pas diramal peroleh majoriti dua pertiga – Penganalisis Politik

Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pas diramal memperoleh majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis Politik, Dr Hoo Ke Ping berkata, ia mengambil kira kesepakatan antara UMNO, Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, sekiranya ketiga-tiga parti Melayu itu bersatu dalam PRU15, mereka bakal menguasai 100 kerusi Parlimen.

“Ditambah pula kerusi di Sarawak dan Sabah serta kerusi MCA dan MIC, terdapat peluang cerah PN, BN dan Pas mendekati bilangan 147 kerusi iaitu bilangan majoriti dua pertiga.

“Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam susun atur ini akan memastikan beliau menjadi Perdana Menteri. Pemimpin UMNO akan menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama, manakala pemimpin Pas akan menjadi Timbalan Perdana Menteri kedua,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menjelaskan lebih lanjut, Ke Ping berkata, UMNO, Pas dan Bersatu akan berunding untuk agihan 130 kerusi majoriti Melayu dengan pertandingan satu lawan satu antara 90 hingga 100 kerusi, manakala kerusi selebihnya bebas untuk ditandingi mereka.

Menurutnya, persetujuan tersebut akan memastikan ketiga-tiga parti Melayu itu memenangi kerusi berkenaan dengan UMNO boleh mendapat sekurang-kurangnya 40 kerusi, selain Pas lebih 20 kerusi dan Bersatu sekitar 35 kerusi.

“Baki 40 kerusi majoriti selebihnya boleh dipertandingkan secara bebas tetapi jika ada rundingan, pastilah lebih banyak kerusi akan dapat dimenangi oleh mana-mana satu daripada tiga parti Melayu ini,” katanya.

Beliau berkata, di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memperoleh lebih 20 kerusi berbanding 19 kerusi pada masa kini.

“Dengan kehancuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sarawak sekarang, GPS pastilah akan menang lebih banyak kerusi lagi.

“Di Sabah, pertembungan adalah antara pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan Melayu dengan pengundi Bajau serta Sulu.

“Jika pengundi KDM dapat disatukan melalui kerjasama antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), maka ini akan menjamin kemenangan PN, BN dan Pas di tujuh hingga lapan kerusi,” jelasnya.

Berhubung kerusi yang ditandingi MCA dan MIC, Ke Ping berkata, calon kedua-dua parti bukan Melayu itu boleh menang mudah di lebih 10 kerusi dengan bantuan Pas.

Beliau turut meramalkan pada PRU15 nanti, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memecahbelahkan undi pengundi Melayu pembangkang di samping Pakatan Harapan (PH) telah kehilangan tarikan Melayu.

“Oleh itu, PH tidak akan dapat menarik undi pengundi Melayu. Apatah lagi bila kebanyakan daripada pengundi baharu lebih 75 peratus daripada yang berumur 18 tahun ke atas adalah berbangsa Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata, PN, BN dan Pas mempunyai daya tarikan kepada orang Melayu, sebaliknya PH tiada dan itu akan menjadi penentu kemenangan parti tersebut.

“Sudah tentu bilangan pengundi bukan Melayu yang akan mengundi melawan mereka tidak akan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus kerana pemerintahan kerajaan PH telah mencederakan orang Cina dengan teruk sekali,” katanya.-SH

Presiden PAS: UMNO, PAS & Bersatu mampu raih sokongan dua pertiga

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker