Ingkar SOP: Sambut hari lahir beramai-ramai, 17 individu dikompaun di Langkawi

LANGKAWI: Seramai 17 individu dikompaun di sebuah rumah di kawasan Makam Mahsuri di sini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan sambutan hari lahir.

Dalam kejadian sekitar 1 pagi pada Ahad, kesemua mereka yang berusia di antara 20 dan 32 tahun itu ditahan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi yang menjalankan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP di kawasan sekitar.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata pihaknya mengesan sekumpulan indvidu sedang berkumpul beramai-ramai di dalam sebuah rumah.

“Hasil pemerikasaan pihak polis mendapati terdapat 17 individu terdiri daripada 13 lelaki dan empat wanita difahamkan sedang menganjurkan sambutan hari lahir.

“Bagaimanapun, hasil saringan ujian air kencing secara rambang terhadap beberapa individu didapati negatif.

“Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Kuah bagi proses dokumentasi dan pengeluaran kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Shariman berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan pematuhan SOP terutama di kawasan tumpuan ramai secara menyeluruh dan berterusan di Pulau Langkawi.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Polis Langkawi pada Rabu lalu telah mengeluarkan kompaun terhadap 19 individu termasuk pasangan pengantin selepas didapati melanggar arahan semasa PKP dikuatkuasakan.

Kesemua mereka yang sedang leka bergambar kenangan di kawasan Taman Nilam ditahan anggota polis yang secara kebetulan mengadakan pemantauan SOP di kawasan berkenaan.

One thought on “Ingkar SOP: Sambut hari lahir beramai-ramai, 17 individu dikompaun di Langkawi

  • February 8, 2021 at 10:26
    Permalink

    Kenapa ya susah sangat nak ikut SOP yang kerajaan dah tetapkan ? Nak hidup macam dulu, boleh keluar kemana-mana je, bebas kenalah ikut SOP, kena sabar. Tolonglah ! Kita belum menang !

    Reply

Leave a Reply